IPOH:Pembangunan Pekan-pekan kecil di negeri ini sentiasa dipergiatkan menerusi Program Pembangunan Pekan Kecil Negeri Perak yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) berkata, ia adalah satu pendekatan untuk memberi impak pemodenan fizikal kepada premis perniagaan yang telah uzur dan usang yang juga dikenali sebagai ‘pekan koboi’.
“Program ini memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk memiliki premis perniagaan yang moden serta mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada masyarakat setempat.
“Pembangunan semula pekan-pekan kecil seperti Ijok dan Kubu Gajah serta kawasan-kawasan lain adalah tanggungjawab sosio-ekonomi kerajaan negeri untuk menyediakan infrastruktur fizikal kepada semua kawasan berkaitan yang melibatkan wakil rakyat, Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) para peniaga dan penduduk setempat,” katanya menjawab soalan lisan yang diajukan oleh ADUN Ahmad Hasbullah Alias (BN-Kubu Gajah) pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) hari ini.
Tambahnya lagi, Kerajaan negeri juga telah menetapkan konsep Pembangunan Semula Pekan-Pekan Kecil mempunyai tiga komponen utama iaitu Kedai Desa, Gerai Desa, dan Dataran yang berfungsi sebagai pusat komuniti dan interaksi penduduk setempat.
“Kedai desa akan dijual kepada masyarakat setempat yang berkelayakan manakala Gerai Desa dan Dataran akan diserahkan kepada PBT.
“Konsep ini juga dilaksanakan sebagai pemangkin untuk meransang pembangunan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, bagi merancakkan kegiatan ekonomi di pekan-pekan tersebut, beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan boleh disediakan seperti Pejabat Pos Mini, Pejabat ADUN Kawasan, pasar awam, pusat bayaran setempat serta keperluan lain.