Isu Panas

Pertahan institusi presiden tanggungjawab bersama ahli

KUALA LUMPUR: Institusi presiden merupakan institusi tertinggi dalam sesebuah parti politik yang wajar dipertahankan bagi memeta hala tuju organisasi berkenaan.

Jika institusi itu diganggu-gugat sama ada dari dalam mahupun luar, ia akan menyukarkan pemimpin yang dipilih untuk memimpin dan menjalankan tugas, sekali gus menyebabkan parti menjadi lemah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, institusi presiden merupakan ‘jantung’ kepada sesebuah organisasi dan harus dipertahankan demi kelangsungan hidup organisasi itu.

“Presiden adalah jawatan yang penting dalam mana-mana organisasi khususnya Umno malah presiden juga merupakan individu yang menerima paling banyak sokongan akar umbi untuk menjawat jawatan itu dan sudah tentu ia perlu dipertahankan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan semasa hari ini, anggota parti yang bertanggungjawab memilih presiden, seharusnya memperkemas lagi solidariti daripada berterusan keliru dengan propaganda dan helah yang dicanang bekas pemimpin dan juga pembangkang bagi memburukkan pimpinan.

Namun cabaran yang dihadapi Umno, yang dianggotai 3.5 juta Melayu, pada masa ini ialah beberapa bekas pemimpin utama Umno menimbulkan polemik dan kekeliruan dalam kalangan anggota di peringkat akar umbi.

Mohd Azizuddin berkata konsep sayang dan cinta seseorang anggota parti terhadap organisasi juga seharusnya meliputi kasih dan sayang terhadap presiden.

“Adalah tidak adil bagi anggota parti sekiranya mereka membanding-bandingkan sokongan dan dukungan padu yang diberikan kepada pemimpin yang terdahulu.

“Presiden sekarang juga selayaknya menerima sokongan padu daripada seluruh anggota sepertimana yang pernah mereka zahirkan kepada pemimpin sebelum ini.

Setiap pemimpin ada isunya,” kata Mohd Azizuddin.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat pula berkata, cabaran politik semasa menuntut seluruh anggota parti untuk memperkuat iltizam, merapatkan saf dan mencapai kebersamaan demi pengukuhan Umno.

Katanya, seluruh anggota Umno seharusnya sedar bahawa parti itu kini bersaing dengan lebih banyak parti termasuk tiga parti politik yang baharu – Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (PWS).

“Jika diamati isu ketika kepimpinan lepas seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada pilihan raya umum 2004, waktu itu beliau juga berdepan isu namun ketika itu media dalam talian baru sahaja bertapak.

“Pada Pilihan Raya Umum 2008 barulah nampak kesannya apabila kepimpinan beliau juga ditanam dengan kebencian oleh musuhnya yang menyaksikan BN gagal buat pertama kali meraih majoriti dua pertiga,” katanya.

Beliau berkata, pada era kini, aplikasi WhatsApp menjadi senjata ampuh untuk membina persepsi buruk kepada Umno dan juga kerajaan oleh musuh. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");