Jenayah

Pinjam teksi bawa daun ketum

MELAKA TENGAH: Seorang bekas anggota polis bertindak melarikan diri apabila ternampak anggota penguat kuasa di Jalan Batu Berendam, di sini, sebelum dia dikejar sejauh kira-kira 3 kilometer.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam kelmarin, lelaki berusia 35 tahun itu membawa teksi dengan ditemani seorang rakan yang menjadi penumpang.

Bagaimanapun, tindakan mencurigakan kedua-dua mereka terjawab apabila anggota polis mengejarnya dan mendapati terdapat daun ketum dalam but teksi terbabit.

Kedua-dua sahabat itu dikatakan meminjam teksi berkenaan daripada rakan mereka di Kuantan, Pahang sebelum ke Ipoh, Perak untuk mengambil kira-kira 10 kilogram daun ketum untuk dihantar ke negeri ini.

Namun begitu, hanya pemandu lelaki berkenaan ditangkap, sementara rakannya berjaya meloloskan diri selepas teksi berkenaan berhenti di laluan mati di Taman Suteri Belia, di sini.

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, lelaki itu ditangkap sepasukan lapan anggota diketuai Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib dalam Op Cegah Jenayah.

“Polis ternampak sebuah teksi dinaiki dua lelaki bertindak mengundurkan kenderaan dan mengubah haluan menghala ke persimpangan lampu isyarat Sungai Putat sebelum membelok ke kiri masuk ke Taman Sutera Belia.

“Dia kemudian masuk ke Jalan Sutera Belia 1 dan terpaksa menghentikan teksi kerana jalan mati lalu cuba lari, namun kita yang mengejar hanya berjaya menahan pemandu sementara rakannya lolos,” katanya di sini, semalam.

Shaikh Abdul Adzis berkata, polis menemui sejumlah daun dipercayai daun ketum di dalam kenderaan terbabit, sementara ujian saringan air awal urin mendapati lelaki yang bekerja menjual buah itu positif dadah jenis methamphetamin.

“Semakan rekod kita dapati lelaki ini mempunyai empat kes lampau membabitkan menghalang tugas penjawat awam dan dadah. Dia kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");