KUALA LUMPUR : Pinjaman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutamanya bagi membina Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bukanlah isu perkauman, sebaliknya adalah isu nasional, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berikutan itu, beliau menasihatkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhenti menyifatkan kritikan yang dilakukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu sebagai isu perkauman.
“Kepada Presiden MCA, berhentilah daripada menjadikan kritikan terhadap pinjaman yang dilakukan Najib itu sebagai isu perkauman demi mendapatkan sokongan orang Cina di Malaysia.
“Dengan menyokong Najib meminjam dan kehilangan berbilion ringgit, anda sebenarnya membantu memusnahkan ekonomi Malaysia,”katanya menerusi blognya, hari ini.
Beliau berkata, perjanjian yang dibuat dalam lawatan Najib ke China itu, terutamanya ECRL akan menambahkan lagi hutang kerajaan Malaysia.
Ujarnya, tidak kira sama ada ianya dari kerajaan China atau negara lain, rakyat negara ini perlu menentang pinjaman besar yang dilakukan oleh kerajaan kerana ia akan membebankan setiap lapisan rakyat di negara ini.
“Pertama sekali, meminjam RM55 bilion daripada China untuk membina laluan keretapi sejauh 600 kilometer bermakna ianya akan memberikan kontrak ini kepada kontraktor China. Di Malaysia juga mempunyai banyak syarikat yang mampu membina landasan keretapi eletrik.
“Memberi kontrak ini kepada syarikat asing bermakna akan banyak berlaku pengaliran wang keluar dari negara. Ianya tidak sihat kepada mana-mana negara,”ujarnya.
Ujarnya lagi, RM55 bilion untuk membina landasan tersebut adalah diluar jangkaan rakyat Malaysia atau pakar asing kerana ia sepatutnya di bawah RM35 bilion.
Dakwa Dr Mahathir lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan akan meminjam RM50 bilion bagi membina landasan keretapi laju dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan anggaran kos sebanyak RM50 bilion memandangkan kerajaan tidak mempunyai dana.
“Kesemua ini akan meningkatkan hutang kerajaan dengan menjadikannya hampir RM200 bilion.
“Malaysia akan dibebani hutang yang besar. Sekiranya bayaran hutang ini dibuat dengan menjual aset kerajaan, sebahagian besar tanah yang bernilai di Malaysia akan menjadi pemilikan asing,”ujarnya.
Katanya lagi, rakyat tidak gembira dengan lawatan Najib ke China bukan kerana menentang negara tersebut, sebaliknya, rakyat mengambil berat tentang negara ini.