Berita Hari Ini

Polis susun strategi pantau perhimpunan Bersih

KUCHING – Pihak polis sudah bersiap sedia dengan strategi dalam memantau erhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang diadakan di sini Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata beliau difahamkan bahawa notis mengenai perhimpunan itu telah dimajukan pihak penganjur, namun mereka tidak diberi kebenaran dari segi pemilihan lokasi perhimpunan.

Beliau berkata majlis kerajaan tempatan mungkin mengambil kira banyak sudut seperti kesulitan yang bakal timbul, kesusahan orang ramai atau masalah lalu lintas. Namun jika pihak penganjur tetap mahu teruskan perhimpunan di lokasi itu, ia merupakan tanggungjawab mereka sendiri.

“Kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012. Nasihat saya supaya (peserta) lihat agenda masing-masing. Saya tidak boleh nasihat orang ramai agar pergi atau tidak (ke perhimpunan itu). Kita ikut undang-undang dan kalau ada pelanggaran dari sudut undang-undang, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Seminar Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita di Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mazlan menekankan agar semua pihak menghormati Akta Perhimpunan Aman.

“Seboleh-bolehnya kita perlukan segala bukti yang ada. Andai kata sekiranya ada kes-kes jenayah yang berlaku, kita akan nilai balik bukti-bukti kita, yang penting semangat Akta Perhimpunan Aman perlu dijamin oleh semua pihak,” tambahnya.

Perhimpunan Bersih 5.0 di Sarawak sebelum ini dirancang untuk diadakan di Panggung Udara di Jalan Taman Budaya, namun Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai menolak penggunaan venue itu atas faktor keselamatan memandangkan kawasan itu sedang dibaiki.

Mengenai seminar tersebut, Mazlan berkata ketika ini 1,086 anggota polis di Sarawak terdiri daripada kalangan wanita atau 20 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota polis di Sarawak.

Beliau menasihatkan anggota polis wanita supaya lebih tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam pasukan, dan beliau percaya mereka berpeluang luas untuk muncul sebagai pemimpin dalam pasukan satu masa nanti, sebagaimana yang ditunjukkan oleh beberapa pegawai wanita yang meraih kecemerlangan dalam pasukan sebelum ini.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");