Berita Hari Ini

PTPTN laksana promosi agresif SSPN-i Plus

Kuala Lumpur:Dalam usaha mendekatkan lagi dengan masyarakat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengorak langkah menganjurkan Hari Mesra Pelanggan PTPTN buat julung kalinya secara serentak di seluruh negara, kelmarin.

Selain menyediakan pelbagai aktiviti, PTPTN turut dapat menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat terutama produk baharu, SSPN-i Plus yang menawarkan simpanan masa depan untuk pendidikan selain turut menyediakan perlindungan takaful yang murah.

Malah, ia bukan hanya sekadar menawarkan simpanan dan perlindungan takaful, SSPN-i Plus juga satu-satunya pelan simpanan yang mempunyai pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000.

Bagi menggalakkan penabungan, PTPTN turut melaksanakan Cabutan Wow! SSPN-i Plus dengan menawarkan lebih 300 hadiah menarik bernilai RM1.5 juta untuk dimenangi termasuk Proton Perdana, Toyota Vios, Honda Jazz, motosikal Kawasaki serta hadiah sagu hati RM2,000.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kewujudan SSPN-i Plus sememangnya menepati cita rasa kebanyakan masyarakat di negara ini terutama yang beragama Islam kerana ia adalah skim simpanan takaful yang sentiasa berpandukan kepada sistem kewangan patuh syariah.

“Mereka bukan sahaja melabur untuk tujuan pendidikan, namun turut memperoleh dividen amat kompetitif sebanyak empat peratus tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow! dan Anugerah Ejen Online Suku Tahun Siri Pertama 2016/2017 serta Hari Mesra Pelanggan PTPTN di sini, Sabtu lalu.

Menang Cabutan Wow Pada majlis itu, pendeposit SSPN-i Plus, Tan Yee Wai, 56, memenangi Cabutan Wow! Suku Tahunan dengan membawa pulang Honda Jazz, sementara tiga lagi pendeposit memperoleh wang sagu hati, RM2,000.

Yee Wai yang berasal dari Skudai, Johor tidak menyangka beliau memperoleh hadiah utama berkenaan kerana baru saja membuka akaun SSPN-i Plus untuk anak sulungnya.

“Semua ini umpama mimpi buat saya kerana langsung tidak menjangkakan berita baik berkenaan. Saya sangat bangga dengan PTPTN kerana bukan saja menawarkan simpanan, perlindungan takaful serta pelepasan taksiran cukai, malah turut menyediakan cabutan hadiah untuk menggalakkan masyarakat menabung. Selaras dengan dunia teknologi tanpa sempadan, PTPTN secara agresif memperkenalkan program pemasaran bagi produk simpanan SSPN-i Plus melalui ejen atas talian. Bagi Anugerah Ejen Online, Taufik Ismail, 34, seorang pengurus Teknologi Maklumat berasal dari Perlis menjadi ejen terbaik bagi pencapaian suku tahun apabila berjaya mencapai sebanyak 500 pembukaan akaun baharu SSPN-i Plus dengan sejumlah RM30,000 deposit terkumpul sejak Julai lalu.

“Saya mula tertarik menyertai Ejen Online PTPTN apabila mendengar iklan di radio dengan tawaran 25 peratus komisen daripada setiap pembukaan akaun SSPN-i Plus. Saya hanya meluangkan masa sekitar dua jam saja setiap hari untuk mengiklankan produk PTPTN ini menggunakan enjin carian Google serta Yahoo.

“Pekerjaan ini sangat mudah kerana kita hanya perlu mempromosikan keistimewaan produk SSPN-i Plus dalam usaha mendapatkan lebih ramai pelanggan. Bukan hanya komisen, kita juga berpeluang memenangi hadiah berupa pakej percutian ke luar negara bagi pencapaian tahunan dan wang tunai RM1,000 bagi pencapaian suku tahun,” katanya.

Sementara itu, seorang pendeposit, Seriwati Mat Alsharri, 35, berkata usaha PTPTN mengadakan program berkenaan di pasar raya sangat bagus dalam memperkenalkan SSPN-i Plus kerana membolehkan lebih ramai masyarakat memahami dan mengetahui keistimewaan produk berkenaan.

“Dengan cara ini, orang ramai yang sedang membeli belah boleh singgah untuk mendapatkan maklumat lanjut serta terus membuka akaun untuk anak mereka,” katanya yang membuka akaun SSPN-i Plus untuk dua anaknya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");