Sukan Hari Ini

‘Puas sokong Harimau Malaysia’

“Bila kami menyanyikan lagu Negaraku di negara orang rasa lebih bersemangat dan bangga,” kata penyokong Harimau Malaysia Raiful Bahri Yusof, 36, yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan ketika mereka beraksi di luar negara.

Biarpun ada dalam kalangan rakannya memperlekehkan minatnya yang sanggup menghabiskan masa dan duit untuk menyokong skuad kebangsaan, bagi Raiful itu tidak memberi kesan kepadanya.

“Saya kembali menyokong skuad kebangsaan pada 2010 tapi selepas 2014 saya tidak terlepas menyaksikan hampir semua perlawanan termasuk di luar negara.

“Paling jauh saya pergi menyaksikan skuad kebangsaan menentang Arab Saudi di Dammam pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 Mac tahun lalu. Saya juga pergi ke Dili tahun lalu apabila Malaysia berdepan Timor Leste.

“Memang ada orang yang cakap saya hanya membazir duit tengok skuad kebangsaan bermain tapi nak buat macam mana, ini sudah minat saya. Menang kalah belakang kira, janji saya puas dapat bersama skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui Arena Metro semalam.

Raiful yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu sudah berada di Yangon sejak aksi pertama Kumpulan B Piala AFF 2016 antara Malaysia dengan Kemboja dan kemudian terus memberikan sokongan ketika perlawanan dengan Vietnam dan Myanmar.

Juruteknik penyelenggaraan pesawat MAS itu turut memberikan sokongan kepada Harimau Malaysia pada Piala AFF dua tahun lalu di Singapura, Vietnam dan Thailand sehingga dia diberikan panggilan oleh kenalannya sebagai ‘king of away game’ kerana sering mengikut pasukan negara di mana saja.

Minat Raiful bukan saja bersama skuad kebangsaan malah pasukan Liga Malaysia, sehingga kadang kala terpaksa meminjam duit kawan untuk menyaksikan perlawanan.

“Isteri saya (Noraziawati Azahari) faham dengan minat saya ini. Memang perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri tapi saya sudah merancang lebih awal. Seperti Piala AFF ini, jadual perlawanan sudah keluar awal, jadi saya membeli tiket penerbangan dulu dan kemudian bila cukup simpanan, saya akan membuat tempahan hotel pula.

“Tapi jika Malaysia masuk ke separuh akhir masalah sedikit sebab tak buat tempahan awal. Mungkin macam sebelum ini, saya pinjam dengan kawan dulu kemudian bayar.

“Saya sudah puas mengikut pasukan kebangsaan bermain di Piala AFF, kalau boleh saya mahu melihat pasukan negara bermain di peringkat lebih tinggi, sekurang-kurangnya Piala Asia selepas ini,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");