Membawang Hari Ini

Rindu zaman AF

Sudah 11 tahun Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) melabuhkan tirainya dan ada di antara pelajarnya sudah berkeluarga termasuk Asiah Tunakma Abdullah, 31, atau lebih dikenali sebagai Akma.

Dia bertemu jodoh dengan Farih Hamshi pada 2012 dikurniakan dua cahaya mata, Awatif Husna Hamshi,3, dan Fayyaaz Hamshi, setahun.

Mengenang semula pembabitannya dalam program realiti itu, dia tersenyum sendiri kerana pernah digosipkan dengan seorang lagi peserta AF3 dari Sabah iaitu Felix Agus.

Namun ia sekadar gosip untuk ‘memanaskan’ pentas AF3. Kini Felix juga sudah berkahwin dengan gadis pilihannya dan menetap di negeri kelahirannya.

“Terasa rindu apabila teringat semula saat keluar AF dulu dan kami berkumpul semula untuk menjayakan program Gempak Selebriti Astro yang biasanya menjadi medan untuk semua bekas peserta AF bertemu. Waktu itu hubungan semua bekas peserta AF1 hingga AF6 cukup mesra dan sehingga sekarang kami masih ‘berkumpul’ lagi dalam kumpulan WhatsApp.

“Di Facebook pula ada mengeluarkan gambar lama, lagilah rasa rindu suasana zaman itu. Kelakar pun ada apabila tengok muka kami masa dulu-dulu. Macam-macam gaya ada.

“Kami masih bertanya khabar dan tahu perkembangan diri masing-masing. Akhirnya Ekin dan Yazer yang sama-sama berada dalam AF3 bertemu jodoh. Sekarang saya tidak aktif menyanyi, tetapi kalau ada jemputan saya akan pergi, dapat juga mengasah suara semula. Kepada yang mahu mengundang saya membuat persembahan, mereka boleh menghubungi saya terus,” katanya.

Buka pusat tuisyen

Akma kini menetap di Putrajaya pernah menjadi guru tadika di Kuala Lumpur dan mengajar muzik selama dua tahun. Oleh kerana jarak perjalanan yang jauh dan sedang hamil anak kedua, dia berhenti.

“Farih tahu saya suka mengajar jadi dia buka pusat tusyen di Presint 15, Putrajaya. Ia mula beroperasi tahun depan. Pusat tusyen itu dibuka untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya juga selitkan kelas muzik kepada yang berminat,” katanya.

Selain itu, Akma juga menjadi pengacara sambilan program Go Shop dan muncul lebih 10 kali dalam masa sebulan.

“Kemunculan saya dalam Go Shop ada dibuat secara rakaman dan secara langsung. Saya juga berniaga kecil-kecilan mengeluarkan sabun badan dan muka untuk kanak-kanak,” katanya.

Dia kini menyambung pengajian di Universti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur.

“Waktu saya agak terbatas, tetapi gembira kerana tidak hanya duduk menjaga anak di rumah. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri sendiri dan menjadi contoh terbaik untuk anak. Segala impian dan cita-cita menjadi mudah apabila Farih sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");