Berita Hari Ini

RM8.7 juta baik pulih Dataran Lang

LANGKAWI – Sejumlah RM8.7 juta dibelanjakan untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih struktur dan pembaikan Dataran Lang yang siap sepenuhnya pada 26 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli berkata, ia merupakan kerja-kerja pembaikan besar pernah dijalankan ke atas produk ikonik Langkawi itu sejak ia diwujudkan lebih 20 tahun lalu.

“Selain pengukuhan struktur, kerja-kerja penambahbaikan itu turut melibatkan pemasangan lampu LED untuk memberikan pencahayaan menarik pada waktu malam dan pancutan air.

“Pada masa hadapan, pancutan air ini akan ditambah baik menjadi pancutan air muzikal dan kami bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mencari kaedah yang kos efektif untuk melaksanakan cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek Dataran Lang kepada Lada yang disempurnakan bersama Pengarah JKR Kedah Datuk Samsudin Bakar di sini, semalam.

Dalam pada itu juga, Samsudin berkata, penambahbaikan Dataran Lang itu merupakan satu daripada projek Lada yang dilaksanakan oleh JKR di Langkawi sejak September lepas.

Sementara itu beliau berkata, projek lain yang dijalankan JKR untuk Lada di sini antaranya pembinaan jalan alternatif Pantai Cenang yang menelan belanja kira-kira RM38.5 juta, menaik taraf Jalan Pantai Beringin (RM7.8 juta) dan Auditorium Dewan Mahsuri (RM7.3 juta).

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");