Jenayah

Rumah sewa musnah terbakar

TANAH MERAH: Kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia cawangan Kuala Krai tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewanya musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Guchil, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, dua motosikal milik Nik Abdullah Nik Mod, 37, serta barangan termasuk kelengkapan sekolah anaknya turut hangus.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Nik Abdullah berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Nik Fazili Azly Kadir serta tiga anak mereka berusia 5, 8 dan 10 tahun tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Kampung Pek, Machang.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang jiran dan terus bergegas pulang ke rumah, namun tiada apa dapat diselamatkan.

“Masa saya sampai di rumah, bomba sudah ada tetapi tak ada apa-apa yang boleh saya buat kerana semuanya sudah hangus,” katanya, semalam.

Menurutnya, buat sementara waktu, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah jiran mereka sebelum dapat mencari tempat tinggal baharu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd berkata, lima anggota diketuai Komander Operasi, Azahari Mamat bersama satu jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.11 pagi.

“Anggota tiba di lokasi jam 11.20 pagi, dan ketika itu 95 peratus rumah melibatkan separuh kekal ini sudah musnah terbakar.

“Selepas memastikan tiada mangsa terperangkap, operasi memadam dan mengawal dilakukan sehingga operasi tamat pada jam 12.54 tengah hari,” katanya.

Dalam pada itu, nasib malang keluarga terbabit mendapat perhatian Pejabat Umno Dun Bukit Panau yang tampil menghulurkan bantuan segera bagi membantu meringankan beban mangsa.

Bantuan barang keperluan asas termasuk makanan dan tilam disampaikan Timbalan Pengarah Dun itu, Ali Akhbar Mayim sebagai mewakili Pengarah Dun, Dayang Saniah Awang Hamid.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");