Isu Panas

RUU 355: Hadi jawab kekeliruan bukan Islam

SHAH ALAM – Pas sedia berdialog dengan pemimpin agama bukan Islam bagi menjelaskan beberapa kekeliruan berhubung pindaan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU 355), yang diusulkan di Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, antara isu yang sering dimainkan kalangan pemimpin bukan Islam ialah mengaitkan pindaan RUU 355 sebagai usaha membuka pintu ke arah pelaksanaan hudud.

“Hukum hudud adalah di luar daripada RUU 355, tapi nampaknya terus dijadikan senjata bagi menentang Islam secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, RUU 355 hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat dan tugasan mereka.

“Aspek kehakiman menjadi rukun dalam menunaikan perintah ALLAH SWT. Oleh sebab itu, taraf mahkamah syariah daripada kedudukan yang telah diletakkan oleh penjajah perlu dipinda.

“Ini termasuk juga raja-raja wajib diangkat ke martabatnya, kerana kedudukan baginda sebagai ketua urusan agama Islam. Sehingga kini, mahkamah tinggi syariah yang paling tinggi pun, kedudukannya lebih rendah daripada mahkamah majistret di peringkat daerah,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kalangan bukan Islam sepatutnya meraikan perkara itu dan menghormati saudara Islam, memandangkan mereka berada dalam masyarakat majmuk.

“Jangan sengaja cari sebab untuk timbulkan ketegangan dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan urusan mereka. Perbuatan itu akan menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, lebih-lebih lagi mereka tiba-tiba menentang RUU 355 yang bertujuan menaik taraf mahkamah syariah,” katanya.

Beliau berkata, golongan pemimpin bukan Islam sepatutnya menyedari kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak penganut agama lain yang juga diberi kebebasan.

“Mereka tidak boleh tiba-tiba menghalang penganut Islam dalam bidang berkaitan agama yang menjadi agama rasmi negara ini untuk melakukan pindaan, sepertimana cubaan mereka menentang pindaan RUU 355 ketika ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");