BATU PAHAT: Seorang lelaki maut, manakala anaknya dan empat lagi murid sekolah agama rakyat cedera apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke sekolah berkenaan berhampiran Kampung Sungai Besar, Benut, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian, kira-kira jam 7.20 pagi, Abdul Razak Jamari, 42, dari Kampung Parit Tengah Seri Merlong, Rengit, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Anak mangsa, Mohd Adi Syahmi, 7, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta PERODUA Alza, kini dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Empat lagi murid dipercayai anak jiran mangsa yang turut menaiki kereta itu, Mohd Fathuddin Zakaria, 7, Mohd Firas Alian Norashidin, 7, Mohd Sanish Asyraf Khairul, 7, dan Khodijah Ulya Zakaria, 8, dilaporkan turut cedera.
Difahamkan pemandu lori berkenaan meninggalkan lokasi kemalangan dan tidak dapat dikesan.
-BH Online