PETALING JAYA: Pas sentiasa berhati-hati dalam menjalankan sebaran urusan dengan Umno berikutan sering tertipu dengan parti tersebut sebelum ini.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Pas merupakan parti yang paling terkesan oleh kezaliman Umno termasuk pembunuhan ahli mereka dalam kes Memali, Kedah.
“Kita pernah berada dalam BN dan ahli kita mati dalam tragedi Memali. Pas banyak tertipu dengan Umno kerana itu apabila berurusan dengan Umno, kita amat berhati-hati.
“Sebelum ni ramai ahli dan pemimpin Pas ditangkap dan dimasukkan ke ISA seperti Presiden Pas ketiga, Datuk Burhanudin Al-Helmy,” katanya.
Katanya, Pas paling terkesan dengan kezaliman Umno berbanding parti-parti lain. Oleh itu katanya, tidak wajar jika dikatakan Pas akan menyertai Umno.
“Parti-lain lain seperti DAP dan sebagainya tidak terkesan banyak oleh kezaliman Umno tapi Pas yang paling teruk dizalimi.
“Jadi, untuk menuduh Pas akan masuk Umno adalah tak masuk akal sebab kita adalah parti yang paling mendapat kesan berat akibat tindakan Umno-BN,” katanya, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan adalah penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Taman Medan, Petaling Jaya, hari ini.
-Sinar Harian