Membawang Hari Ini

Siti Nordiana beraksi di pentas teater

DRAMA Dia Semanis Honey lakonan Siti Nordiana bersama Alif Satar yang menjadi fenomena dalam kalangan pencinta seni membuatkan pengarahnya, Michael Ang mahu membawa drama tersebut ke pentas teater.

Bakal dipentaskan di Istana Budaya tahun depan, drama diangkat daripada adaptasi novel akan menghimpunkan pelakon asal bagi mengimbau momen-momen terdahulu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Siti Nordiana yang ditemui mengakui kini menjalani latihan intensif sebagai persediaan untuk teater tersebut.

“Kini, saya sedang beri fokus kepada latihan Dia Semanis Honey Musical yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.

“Jujurnya, saya gementar dan teruja dan pada masa sama kerana ini merupakan percubaan sulung saya untuk beraksi di pentas teater.

“Gementar kerana kita sedia maklum bahawa Istana Budaya merupakan pentas yang mega dan pastinya, saya akan cuba bawa teater muzikal ini dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, setakat ini persiapan untuk jadual latihan berjalan dengan lancar. Harapnya ia akan kekal begitu sehinggalah kepada pementasannya kelak,” tambahnya lagi.

Ditanya apakah persiapan yang bakal dilakukan penyanyi lagu Pesanan Teragung ini, dia mengakui ada meminta tips dan nasihat daripada rakan-rakan seperjuangan yang sudah biasa beraksi di pentas teater muzikal.

“Saya juga ada menghubungi rakan penyanyi yang pernah beraksi di pentas teater sebelum ini iaitu Ziana Zain. Saya ada menghubunginya untuk mendapatkan nasihat. Biasalah ini adalah pengalaman yang pertama bagi saya.

“Jadi rasanya nasihat dari senior memang saya perlukan sebagai pembakar semangat,” terang Siti Nordiana jujur.

Berkongsi perihal perkembangan seninya yang lain pula, Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana menambah, dia kini sedang mencari lagu baharu seterusnya.

“Saya sedang mencari material terbaik untuk dijadikan lagu yang seterusnya. Cuma kalau diberi peluang, saya mahukan sebuah lagu duet sebagai kelainan.

“Peminat pun ada yang mahukan saya rakam lagu duet kerana sejak sekian lama, saya sering tampil solo,” katanya yang sebelum ini sinonim dengan beberapa rangkaian lagu duet bersama arwah Achik (Spin) seperti Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");