Jenayah

Suspek curi motor, ragut dicekup

KOTA TINGGI: Polis Kota Tinggi berjaya menyelesaikan 15 kes ragut dan 15 kes curi motosikal di empat kawasan termasuk daerah ini dengan tertangkapnya seorang suspek dikehendaki minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, bertindak atas maklumat, pada 16 November lalu, sepasukan tujuh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiren telah menahan lelaki berusia 24 tahun di lorong belakang sebuah rumah dekat Taman Mawai.

Menurutnya, suspek yang dalam senarai dikehendaki di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak di daerah ini pada 2014 berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemui dua telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing termasuk ringgit bernilai RM380 dipercayai hasil jenayah ragut serta samun di daerah ini.

“Suspek telah menunjukkan sebuah motosikal jenis EX5 miliknya yang digunakan untuk melakukan jenayah ragut di daerah ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran adalah palsu dan semakan menunjukkan kenderaan itu dilaporkan hilang pada 8 November di Kota Tinggi,” katanya, semalam.

Rahmat berkata, ekoran itu, pada Ahad lalu jam 5.20 petang, pasukan sama dibantu Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Tampoi telah ke Sungai Pasak di mana lokasi rangka-rangka motosikal dibuang oleh suspek.

“Pasukan penyelam PPM telah menemukan enam rangka motosikal. Hasil pemeriksaan ke atas rangka motosikal jenis Honda Wave 125, Yamaha RXZ dan Honda EX5 itu didapati dilaporkan hilang di Ulu Tiram, Kota Tinggi dan Bandar Penawar,” katanya.

Beliau berkata, pada Isnin lalu, pasukan sama menemui tujuh lagi rangka motosikal dibuang di Sungai Kota, Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing.

Katanya, rangka motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Belang, Kawasaki Kips 150 itu dilaporkan hilang di Kota Tinggi, Batu Ampat, Sungai Rengit, Pekan Nenas dan Pelangi Indah.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita percaya telah berjaya menyelesaikan 15 kes ragut dan 15 kes curi motosikal di sekitar daerah ini, Ulu Tiram, Pelangi Indah dan Pekan Nenas,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");