Membawang Hari Ini

Syafiq Yusof Berdepan Cabaran Hasil Desolasi

PETALING JAYA: Pengarah filem Syafiq Yusof memberitahu dia terpaksa menempuhi pelbagai cabaran termasuk cuaca yang kerap kali hujan ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya berjudul Desolasi.

Bagaimanapun, Syafiq,23, berkata, dia tidak pernah patah semangat, sebaliknya percaya apa yang dilalui itu sebagai ujian untuk menjadikannya lebih kuat.

“Banyak cabaran yang terpaksa saya lalui sepanjang penggambaran tersebut salah satunya ialah cuaca yang tidak menentu dan sering hujan. Ada suatu hari, kami terpaksa menukar lokasi dari Putrajaya ke Taman Melawati.

“Setelah sampai di kawasan rumah saya di Taman Melawati tiba-tiba ada pokok tumbang pula yang menghalang perjalanan ke lokasi itu.

“Kemudian kami kembali semula ke lokasi asal kerana hujan sudah reda, namun ada masalah lain pula timbul iaitu set janakuasa yang membekalkan tenaga elektrik pula rosak,” ujarnya kepada mStar Online.

Syafiq ditemui selepas pratonton filem terbaharunya berjudul Desolasi yang diadakan di GSC, One Utama, di sini, malam Jumaat.

Filem tersebut dibintangi oleh abangnya iaitu Syamsul Yusof, Bella Dally, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sementara itu, mengulas tempoh masa agak lama menyiapkan karya berkenaan, Syafiq berkata, ia disebabkan penggunaan kesan khas dan teknik pengimejan berkomputer (CGI).

“Hampir 60 peratus CGI digunakan dalam filem ini yang mana mengambil masa agak lama untuk disiapkan. Bulan lepas baru betul-betul siap semuanya.

“Hampir dua tahun jugalah, sebenarnya filem ini siap penggambaran dahulu sebelum Mat Moto dan Munafik,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tengan babak mengosongkan jalan di sekitar Kuala Lumpur, Syafiq berkata, dia hanya meminta kebenaran menghentikan kenderaan hanya beberapa saat.

Dia turut menggunakan CGI untuk membuang imej manusia bagi menampakkan kesan terbaik untuk filem berkenaan.

“Kita boleh hentikan kereta tapi kita tidak boleh hentikan orang untuk berjalan, jadi saya terpaksa CGI imej-imej orang yang yang kelihatan agar benar-benar nampak jalan itu kosong,” ujarnya.

Bercerita tentang idea karya berkenaan, Syafiq berkata, ia adalah perasaan yang ingin dilalui oleh setiap manusia ketika meningkat dewasa.

“Setiap orang akan ada perasaan keliru dan kecelaruan serta sikap ingin tahu apabila berhadapan dengan banyak masalah.

“Selain itu, saya selitkan penyakit iaitu penyakit nyanyuk Anton Babinski yang jarang ditemui sebagai menyedapkan lagi jalan cerita,” ujarnya.

Filem Desolasi bakal ditayangkan pada 8 Disember depan di pawagam seluruh Malaysia.

-mStar Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");