Sukan Hari Ini

Takiyuddin: TMK layak terajui Kafa

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Datuk Takiyuddin Hassan menganggap Tengku Mahkota Kelantan (TMK), Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra calon paling layak mengambil alih kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Takiyuddin berkata, putera raja itu mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak amat sesuai menjawat jawatan presiden berdasarkan personaliti baginda.

“Saya rasa orang paling layak memimpin Kafa adalah TMK. Saya pernah bercakap dengan kekandanya (Sultan Muhammad V) yang ketika itu belum lagi menaiki takhta (Sultan Kelantan sekarang) dan baginda beritahu adindanya sangat meminati bola.

“Sekiranya TMK bersedia (menjawat jawatan presiden), saya percaya Kafa di bawah kepimpinan baginda boleh bersatu demi kepentingan bola sepak Kelantan dan mungkin akan ada banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan untuk persatuan itu nanti.

Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas berhubung kemelut kepimpinan yang melanda Kafa susulan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa selaku presiden, pada 8 November lalu.

Akhbar ini semalam melaporkan, Annuar menyarankan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengetuai badan induk bola sepak negeri itu selepas tidak ada mana-mana individu yang bersedia mengisi kekosongan ditinggalkan beliau.

Namun begitu, Takiyuddin tidak merasakan Ahmad mampu menggalas tanggungjawab tersebut rentetan kesibukan beliau selaku ketua pentadbiran kerajaan negeri selain urusan rasmi parti.

“Saya rasa menteri besar terlalu sibuk untuk jaga (urusan) bola Kelantan. Bukan kata beliau tak layak……cuma saya lihat beliau tak cukup masa untuk ambil tahu mengenai (urus tadbir) bola negeri ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan Kelantan menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akibat masalah kewangan, Takiyuddin yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun yakin masalah melibatkan penajaan skuad itu boleh diselesaikan cara baik.

“Bola sepak Kelantan boleh diselamatkan cuma Kafa harus dilihat menjadi organisasi betul-betul uruskan bola tanpa ada tujuan lain. Sebab itu komposisi individu menerajui Kafa mestilah komited terhadap tanggungjawab dan menyumbang kepada persatuan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");