Membawang Hari Ini

‘Tempat saya di rumah’

Masih ingat kah watak Rokiah yang dibawa penyanyi dan pelakon Safura Yaacob dalam pementasan teater Ronggeng Rokiah arahan Dr Anuar Nor Arai?

Begitu ‘hidup’ sekali lakonan Safura dalam teater itu sehingga setiap mata yang menonton tidak dapat melepaskan pandangan melihat liuk-lentuk dan bahasa tubuhnya.

Menariknya, di pentas Panggung Sari, Istana Budaya (IB) itu jugalah Safura bertemu jodoh barunya dengan aktor Shahrolnizam Nor yang turut sama berlakon.

Lantas pada Januari 2005, mereka disatukan sebagai suami isteri dan selepas 11 tahun Safura dan Shahrol hidup bersama, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Nuraisyah Mariam (meninggal dunia ketika berusia tiga tahun), Yusoff Firdaus, 7, Zara Nuraisyah, 4, dan Ariana Sofea, dua tahun setengah.

Selain itu, dua lagi anak Safura hasil dua perkahwinan terdahulu adalah Nurul Natasha, 21, dan Mohd Daniel Khaqim, 16.

Lama tidak mendengar kisah Safura, BLING! cuba mengatur pertemuan dengan beliau baru-baru ini. Apabila bertemu, dapatlah peminat dunia hiburan mendengar khabar berita mengenai Safura yang lama menyepi itu.

“Segala-galanya sudah berubah. Jiwa saya lebih tenteram duduk di rumah menguruskan keluarga. Inilah yang membataskan pembabitan saya dalam bidang nyanyian dan lakonan,” kata Safura.

Antara drama TV terakhir lakonannya adalah super telefilem, Parit Jawa pada 2011.

“Itu pun sedikit saja watak saya. Waktu itu arwah anak saya, Mariam baru saja meninggal dunia dan tidak lama selepas itu ayah pula menyusul. Ketika itu, remuk hati saya mengenangkan Mariam sudah tiada lagi dan belum sembuh kesedihan ia bertambah parah apabila ayah pula meninggal dunia.

“Kemudian Yusoff pula sakit dan selama sebulan dia terpaksa tinggal di hospital. Dengan kesibukan menjaga Yusoff siang malam, kuranglah sedikit ingatan sedih saya terhadap arwah Mariam.

“Tidak lama kemudian, jiwa seni saya kembali subur sekejap dan selepas melahirkan Ariana, saya ada juga terima tawaran berlakon. Namun demikian, saya tewas lagi apabila asyik mengenangkan anak di rumah. Saya hilang fokus di lokasi penggambaran lalu saya beritahu Shahrol, tempat saya sebenarnya adalah di rumah,” kata Safura.

Pun begitu, sehingga kini, masih ada banyak syarikat produksi menawarkan Safura berlakon. Antara yang terbaru sebuah drama yang akan dibikin di Kota Kinabalu, Sabah.

“Lagilah saya tak boleh pergi sebab anak bersekolah. Sukar untuk saya memberikan komitmen untuk penggambaran drama episod yang panjang-panjang, kalau telefilem bolehlah saya fikir-fikirkan juga. Itu pun kena tengok dulu kelapangan.

“Bagaimanapun bidang nyanyian saya belum terkubur lagi, malah sesekali saya ada menerima tawaran persembahan pentas. Namun terus terang cakap, nada suara saya tidak lagi setinggi dulu dan rasa seksa apabila peminat minta saya menyanyikan lagu Sedalam Mana Cintamu.

“Sudah 16 tahun usia lagu itu, namun ia masih diminati. Populariti lagu itu sukar digugat oleh lagu lain yang saya rakamkan selepas itu,” katanya.

Jual Kek Lapis Sarawak

Sementara menunggu anak membesar dan berdikari, Safura rela mengorbankan kehendak dirinya. Kini bagi mengisi masa lapang dan membantu suami menambah pendapatan keluarga, dia menjual kek lapis Sarawak buatan sendiri.

“Saya ini bukan orang Sarawak, tapi suka membuat kek lapis Sarawak. Mungkin ada yang tidak tahu sebelum jadi penyanyi saya pernah belajar bidang kulinari dan pernah berguru dengan Cef Florence Tan selama dua tahun. Oleh itu tidak sukar saya mengasah kemahiran memasak semula.

“Bagaimanapun, saya lebih mengutamakan tempahan kek pada musim perayaan kerana agak mudah membuatnya dalam kuantiti yang banyak sekali gus.

“Dengan pertolongan penyanyi Roslan Shah juga saya menyertai ekspo di Singapura. Alhamdulillah sambutan orang di sana sangat bagus! Kek dan sambal ikan masin yang saya buat memang laris.

“Pada 1 dan 4 Disember ini pula saya ke Singapura lagi dan menyertai sebuah ekspo di Brunei pada 8 dan 13 Disember. Nampaknya Allah SWT menghalakan rezeki saya ke arah perniagaan pula. Apabila berniaga saya boleh terus berada dekat anak terutama Ariana yang masih menyusu badan,” ujarnya.

Bukan itu saja kata Safura, suaminya juga mula-mula berjinak-jinak dalam perniagaan pengurusan acara.

“Dalam suasana ekonomi sekarang dan anak yang semakin membesar, Shahrol pun tidak boleh lagi bergantung kepada pendapatan daripada lakonan saja,” katanya.

Suami tidak berkenan masuk Gegar Vaganza

Menyentuh pembabitan rakan artis lama dalam program Gegar Vaganza (GV), Safura akui dia juga ada dipanggil uji bakat untuk GV3.

“Selain tidak betul-betul bersedia ke sesi uji bakat itu, Shahrol juga tidak berapa berkenan saya menyertainya kerana dia kata saya tidak perlu bertanding dengan sesiapa pun.

“Dia juga tidak sanggup hendak mendengar nyanyian saya dikritik juri. Pada saya itu adat pertandingan dan kena sanggup terima kritikan kerana sudah begitu konsep pertandingan Gegar Vaganza.

“Andai kata ada rezeki lagi untuk saya menyertai GV pada musim depan, nampaknya kenalah saya pujuk Shahrol untuk benarkan saya masuk,” kata Safura sambil ketawa.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");