Berita Hari Ini

Tiada pilihan, tumpu tingkat asas ekonomi

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mempunyai pilihan selain perlu menghadapi keadaan turun naik ringgit sekarang di samping menumpukan untuk meningkatkan asas-asas ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, walaupun Malaysia sebelum ini menambat mata wangnya semasa krisis ekonomi 1997, langkah yang diambil oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak praktikal dilakukan sekarang dalam keadaan ekonomi global terbuka kerana negara akan kehilangan pertumbuhan ekonominya.

Menurutnya, kerajaan tidak akan menambat mata wang tempatan atau mengenakan kawalan modal meskipun keadaan turun naik sekarang dan sudah tentunya tidak akan menaikkan kadar faedah bagi menarik pelaburan asing.

“Tambatan bukan satu pilihan dalam ekonomi terbuka hari ini kerana dunia kini menjadi semakin terbuka…malahan China, negara yang menutup ekonominya 20 hingga 30 tahun lepas kini telah membukakannya kepada dunia,” katanya dalam ucapan semasa program Women Power Talk, Effective Networking the Way Forward, semalam.

Johari berkata, menaikkan kadar faedah untuk menarik pelabur asing juga bukan satu pilihan kerana langkah itu akan meningkatkan hutang isi rumah di negara ini.

Menjelas lebih lanjut, beliau berkata, sebab utama yang membawa kepada penurunan nilai ringgit adalah pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, semasa kempen, Trump banyak mengeluarkan kenyataan politik retorik dan berjanji untuk menumpukan kepada ekonomi didorong domestik.

“Jadi, untuk berbuat demikian (ekonomi dipacu domestik) mereka perlukan wang, mereka perlukan tunai, mereka perlukan dana. Selama ini, pelabur Amerika melabur di luar negeri dan dianggarkan kira-kira AS$2-AS$3 trilion daripada pelaburan mereka berada di negara-negara Asean.

“Untuk membawa balik wang ini, mereka akan menaikkan kadar faedah di AS, dan apabila ini berlaku, kadar faedah kita akan menjadi tidak begitu menarik,” ujarnya.

Katanya, penurunan ringgit diburukkan lagi dengan aktiviti spekulatif dalam pasaran luar pesisir.

“Kini ringgit berada di bawah tekanan, menyebabkan penurunan nilainya dan itulah sebabnya mengapa rizab kita turun daripada AS$170 bilion kepada AS$97 bilion sekarang kerana ramai pelabur menarik diri,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");