Setiap kali beraksi di atas pentas, Jaclyn Victor pasti menyajikan lantunan vokal dan persembahan mantap yang tidak mengecewakan.
Menjelang 25 hingga 27 November ini, dia berkongsi pentas dengan dua penyanyi bersuara tinggi, Ziana Zain dan Azlan dari Azlan & The Typewriter dalam Konsert High Note 2016 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Diminta mengulas sama ada dia akan menurunkan ‘key’ ketika membuat persembahan memandangkan lagu dendangannya bernada tinggi dan perlu disampaikan selama tiga malam berturut-turut, Jaclyn berkata tidak mustahil.
“Di Hollywood, ramai artis popular yang menurunkan ‘key’ lagu ketika menjayakan persembahan contohnya, mendiang Whitney Houston.
“Ini kerana kita ingin memberikan persembahan yang lancar. Ia perkara biasa dalam dunia nyanyian.
“Saya harap peminat tempatan terbuka mindanya dan tidak fikir yang bukan-bukan sekiranya penyanyi menurunkan ‘key’ ketika membuat persembahan secara langsung,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Gemilang ini turut mengakui dia akan menampilkan sesuatu yang berbeza setiap kali menjayakan persembahan.
“Saya suka mevariasikan persembahan. Dengan cara ini, penonton tidak akan berasa bosan setiap kali menyaksikan persembahan saya.
“Sejak menjuarai program Malaysia Idol, lagu Gemilang akan jadi lagu wajib setiap kali ada persembahan. Bayangkan kalau saya asyik menyanyi dengan gaya sama pasti penonton akan rasa bosan dan kerana itu perlu ada pembaharuan,” katanya.
Mengulas lanjut Konsert High Note 2016, Jaclyn nyata cukup teruja malah menyifatkan ia tawaran yang menarik.
“Ketika ditawarkan menjadi salah seorang artis dalam konsert ini, saya terus bersetuju.
“Seingat saya, belum pernah ada lagi konsert yang menggabungkan penyanyi bernada tinggi. Lebih teruja, saya dapat berkongsi pentas dengan Ziana Zain dan Azlan,” katanya.
Berkongsi mengenai persiapan, Jaclyn bekata dia lebih menekankan aspek vokal kerana penonton pasti meletakkan harapan yang tinggi terhadap konsert itu.
“Selain itu, saya turut menitikberatkan soal pakaian dan penampilan,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan lagu, Jaclyn masih lagi berbincang dengan penganjur.
“Saya mungkin akan menyampaikan lima atau enam lagu. Mungkin juga saya akan menyanyikan sebuah lagu yang pernah dipopularkan penyanyi lain,” katanya.
-Harian metro