KUALA LUMPUR:Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad, memakai lencana ‘Bebas Anwar’ sebagai satu perkara yang pelik dan tidak berpendirian.
Memetik sumber Berita harian, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata tindakan itu membuktikan Tun Mahathir juga sanggup mengenepikan pendirian yang dipegang selama puluhan tahun semata-mata demi kepentingan politik.
“Memang pelik kerana ini menunjukkan matlamat beliau menghalalkan semuanya, termasuk bergabung dengan musuh tradisi seolah-olah tiada pendirian dalam politik.
“Disebabkan masalah tidak setuju dengan kepimpinan hari ini, sanggup buat pendirian (baharu) bertentangan dengan pendirian yang dipegang selama 20 tahun,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program ‘Fit Masjid’ peringkat kebangsaan di Masjid At-Taqwa, Paroi Seremban, hari ini.
Terdahulu, Tun Mahathir dilihat memakai lencana yang menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, ketika menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2016 di Shah Alam, semalam.