KONFERENSI Halal Antarabangsa (INHAC) 2016 kali ketiga bakal menarik ramai pelabur asing dan tempatan bagi merealisasikan Malaysia sebagai hab halal dunia.
Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Prof Dr Muhamad Rahimi Osman berkata, objektif utama program itu adalah bagi menyediakan satu platform kepada penyelidik, ahli akademik dan pemain industri pelbagai bidang halal untuk berkongsi pengalaman.
“Dalam masa sama, konferensi ini dilihat sebagai batu loncatan dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan berkaitan halal dalam Malaysia dan antarabangsa.
“Pada kali ini, kami menjemput tiga penceramah dalam menyampaikan pandangan mereka terhadap industri halal,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
INHAC 2016 bakal berlangsung pada 21 hingga 22 November bertempat di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, akan disertai oleh ahli akademik, penyelidik, pengamal industri, agensi halal, pengilang dan sebagainya.
Majlis anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga mendapat kerjasama daripada Pembangunan Halal Dunia (WHAD), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
“Pelaksanaan program sebegini merupakan salah satu usaha bagi menyemarakkan lagi Malaysia sebagai hab halal untuk menarik pelbagai pelabur tempatan dan asing.
“Industri halal sangat meluas dan tidak tertumpu dalam satu bidang sahaja.
“Sekiranya ia dikomersialkan, industri halal bukan sahaja dapat menarik pelaburan ke negara ini bahkan meningkatkan kredibiliti Malaysia di mata dunia,” katanya.
Selain itu, Muhamad Rahimi berkata, industri halal juga perlu berkait rapat dengan bidang akademik bagi memastikan ia dapat dipelajari golongan muda dan mengembangkan industri itu dengan luas.
Seramai 146 kertas penyelidikan turut dibentangkan pada konferensi itu berlangsung mengenai industri halal termasuk makanan, perkhidmatan, perniagaan, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.
-Sinar Harian