Jenayah

Wanita muda menyamun di lorong belakang kedai

BAHAU: Seorang warga emas berputih mata selepas baki wang yang dikeluarkannya di bank petang kelmarin, disamun seorang wanita muda ketika melalui lorong belakang deretan kedai berhampiran stesen bas Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, warga emas berusia 70 tahun itu keluar dari rumah dekat Felda Raja Alias sekitar jam 1.30 petang.

“Dia menaiki bas ke pekan Bahau untuk pergi ke bank mengeluarkan wang kira-kira RM800, kemudian ke pejabat pos membayar bil berkaitan berjumlah RM300.

“Selepas selesai urusan di pejabat pos, dia berjalan kaki untuk ke stesen bas Bahau namun mengikuti lorong belakang deretan kedai berdekatan stesen bas.

“Mangsa bagaimanapun menyedari dia diekori seorang perempuan berusia sekitar 20-an, namun tidak menyangka akan disamun,” katanya selepas mengesahkan laporan, semalam.

Noorzainy berkata, warga emas berkenaan diacukan pisau di belakangnya secara tiba-tiba, dan didesak oleh wanita tersebut agar mengeluarkan dompet serta menyerahkan semua wangnya.

“Mangsa yang ketika itu mempunyai baki wang RM500 terpaksa akur dengan menyerahkan wang tersebut kepada suspek. Suspek seterusnya melarikan diri.

“Manakala mangsa berjalan kaki pula ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Polis juga mengenal pasti suspek yang beralamat Taman Jaya, Kemayan, Pahang,” katanya.

Noorzainy berkata, rentetan daripada laporan itu, polis kini sedang mengesan K Janaki, 20, untuk membantu siasatan kes ini di bawah Seksyen 392/397 kanun keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penama ini diminta hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.

Manakala polis turut menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Raja Alias selepas dia kerugian RM500, selain tidak mempunyai duit tambang untuk menaiki bas pulang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");