Sukan Hari Ini

Zulfahmi peroleh tiket wildcard ARRC Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba WSBK negara, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan dia memperoleh tiket wildcard untuk beraksi pada perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand, hujung minggu ini.

Zulfahmi yang dihubungi semalam, berkata dia akan berlumba dalam kelas perdana, SuperSport 600cc bersama pasukan BikeART menggunakan jentera Kawasaki, sekali gus bergandingan bersama seorang lagi pelumba handalan negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

“Ia sesuatu yang mengujakan kerana saya berpeluang untuk menguji kemampuan saya berlumba dan bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dari Asia,” kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.

“Bagi saya, ia peluang terbaik untuk memantapkan lagi kemahiran saya dan ujian terbaik sebagai persiapan menghadapi musim baru di WSBK kerana barisan pelumba yang beraksi di ARRC bukan calang-calang hebatnya.

“Jadi saya berterima kasih kepada pasukan, BikeART kerana memberi peluang ini kepada saya dan saya tidak sabar untuk berlumba,” katanya.

Ini adalah kali pertama Zulfahmi yang sebelum ini pernah berlumba di perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 berlumba menerusi tiket wildcard di ARRC.

Mengulas mengenai sasaran ditetapkan kepadanya, pelumba berusia 25 tahun itu berkata dia tidak diberikan sebarang tekanan namun lebih daripada sudut ujian.

“Pasukan tidak meletakkan sebarang sasaran yang spesifik namun lebih dari sudut menguji kemampuan jentera dan sebagainya.

“Jadi bagus jika saya dapat bersaing dengan pelumba di kelompok hadapan dan lebih bagus jika mencatat keputusan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Mengenai perkembangan kariernya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zulfahmi optimis keputusan mengenai penampilannya dalam kelas SuperSport, musim depan akan diketahui tidak lama lagi.

Pada penampilan sulungnya di WSBK tahun ini bersama pasukan Orelac Racing, dia menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ke-11 kategori SuperSport selepas meraih 56 mata termasuk menaiki podium di Sepang.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");