Membawang Hari Ini

13 episod tak cukup!

Bapa kepada kanak-kanak popular Lara Alana iaitu pelakon dan pengacara Awal Ashaari sentiasa memastikan anak perempuannya itu tidak ponteng sekolah walaupun Lara terbabit dengan penggambaran iklan atau program.

Menurut Awal, 35, dia meletakkan syarat kepada pihak terbabit iaitu segala aktiviti perlu dilakukan pada jam 3 petang hingga 8 malam sahaja.

“Sejak Lara dilantik sebagai duta bagi beberapa produk bersama saya dan isteri, sedikit sebanyak dia juga terbabit dengan aktiviti yang diaturkan pihak berkenaan. Tidak dinafikan jadual Lara juga padat.

“Namun, sebagai ibu bapa kami kena bijak membahagikan masa. Apatah lagi Lara sekarang sudah bersekolah. Biarpun bukan bersekolah secara formal, saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan. Saya tak boleh sesuka hati saja.

“Justeru, sekiranya ada penggambaran atau program yang memerlukannya hadir bersama saya menetapkan agar ia dijalankan pada jam 3 petang. Bukan apa, pada sebelah pagi Lara wajib ke sekolah. Kemudian saya perlu memberi rehat kepadanya supaya dia tak meragam,” katanya.

Awal yang juga pengacara Melodi berkata, dia terkejut apabila anaknya yang kini berusia dua tahun empat bulan itu berjaya mengumpul peminat dalam kalangan kanak-kanak.

Semua itu gara-gara program realiti Lara Oh Lara yang disiarkan di saluran Astro Ria sebanyak 13 episod.

“Sebelum ini kebanyakan yang meminati Lara adalah orang dewasa. Kalau perasan di Instagram banyak komen daripada mereka. Saya berterima kasih dengan segala kasih sayang mereka.

“Tetapi, selepas program itu saya terkejut apabila ia turut menarik minat kanak-kanak sehinggakan kalau berjumpa Lara di luar atau acara yang dihadiri, mereka memanggilnya dengan nama Lara Oh Lara.

“Jelas sekali mereka turut menonton dan bukannya golongan dewasa saja. Malah, mereka selalu berkata, 13 episod tak puas dan seboleh-bolehnya mahu melihat musim kedua,” katanya.

Menariknya, program itu turut memberi impak yang besar kepada mereka sekeluarga apabila dihujani dengan tawaran menjadi duta produk.

Awal mahu lebih kurus

Mengenai perancangan untuk menyambung Lara Oh Lara bagi musim kedua, Awal menjelaskan dia masih berbincang dengan pihak Astro.

“Memang pihak Astro sudah merisik kami mengenai perkara ini, tapi belum ada sebarang kata putus lagi. Kalau ada pun mungkin bukan dalam tempoh terdekat. Biarlah Lara pandai bercakap dahulu, jadi ada juga pembaharuan.

“Bukan apa sepanjang 13 episod itu semua perkara dan aktiviti sudah dilakukan. Tak tahu apa lagi yang nak dibuat. Kalau buat perkara sama saja nanti penonton bosan pula. Jadi kami perlu mencari idea lain pula,” katanya.

Berkongsi mengenai dirinya pula, Awal kini sedang sibuk menjalani senaman bagi mendapatkan berat badan ideal.

Awal mengakui sejak berkahwin dan memiliki anak, dia kurang memberi fokus kepada penjagaan badan dan pemakanan.

“Sekarang ini saya sudah berjaya turunkan tiga kilogram dalam masa sebulan. Saya menyasarkan untuk turun lagi enam kilogram. Selepas itu saya perlu kekalkan saja.

“Saya tak nak membina otot atau menjadi ‘sado’, sebaliknya lebih kepada kurus dan ‘fit’. Misi saya adalah nak memakai semula pekaian lama bersaiz S dan M,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");