Bukan mahu mengikut trend artis berniaga sebaliknya pelakon Amyra Rosly berjinak-jinak dalam bisnes kecantikan untuk menimba ilmu sebagai bekalan masa depan.
Menyedari kerjaya seni ada pasang surutnya, Amyra mengakui perlu menyediakan payung sebelum hujan. Sekurang-kurangnya apabila tiada tawaran satu hari nanti, dia sudah ada sesuatu untuk diusahakan.
“Saya sedia maklum kalau mahu berniaga perlu ada ilmu terlebih dahulu. Namun menariknya, untuk bisnes yang saya ceburi ini, segala ilmu dan kursus diberikan kepada mereka yang berminat.
“Insya-Allah jika betul dan kena caranya peniaga pasti akan berjaya. Ini juga sebagai persediaan untuk saya tampil dengan produk kesihatan dan kecantikan jenama sendiri,” katanya.
Mengulas perkembangan terbarunya, Amyra yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Amar Baharin pada November lalu mengakui semakin gemar memasak.
“Sebagai isteri, saya kena masak untuk suami. Walaupun Amar tidak cerewet bab makan, saya akan menyediakan pelbagai jenis lauk setiap hari.
“Saya seronok melakukannya apatah lagi apabila melihat suami berselera menjamah juadah yang saya masak,” katanya.
Amyra turut mengakui sudah bersedia menggalas komitmen sebagai ibu dan menyerahkan soal rezeki kepada Allah SWT.
“Saya dan suami sudah bersedia menimang cahaya mata. Mungkin sudah biasa menjaga anak saudara, saya teruja untuk ada anak sendiri.
“Saya juga berharap dapat membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Kalau boleh saya mahu pastikan dapat meluangkan masa bersama keluarga sekurang-kurangnya sehari atau dua hari setiap minggu,” katanya.
-Harian Metro