Jenayah

Anak melecur ketika cuba selamat ayah yang uzur

KOTA TINGGI: Sebuah keluarga di Felda Pasir Raja di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Difahamkan, kejadian yang berlaku ketika penghuninya sedang lena dibuai mimpi itu turut menyebabkan dua daripada lima penghuninya cedera ketika cuba menyelamatkan ahli keluarga.

Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 3.55 pagi sebelum seramai tujuh anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi bergegas ke lokasi kejadian dan sampai pada jam 4.35 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota dari BBP Kulaijaya turut membantu memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal pada jam 5.50 pagi sebelum menamatkan operasi pada jam 7.40 pagi.

“Kebakaran disedari salah seorang anak pemilik rumah berkenaan. Ekoran itu salah seorang anak mangsa kini dirawat di Hospital Kulai akibat cedera melecur dialami ketika cuba memadamkan api dan menyelamatkan ayahnya yang uzur.

“Seorang lagi penghuni turut mengalami luka kecil pada bahagian badan dan kaki akibat kejadian itu.

“Ketika kejadian semua penghuni sedang tidur. Api juga marak dengan cepat kerana rumah didiami separuh kekal,”katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Firdaus, kebakaran itu telah menyebabkan rumah satu tingkat itu terbakar keseluruhannya dan turut mengakibatkan sebuah kereta serta dua motosikal milik anak mangsa hangus terbakar.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti anggaran kerugian dan punca kebakaran.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");