Sukan Hari Ini

Annuar enggan campur urusan Kafa

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada mesyuarat luar biasa (EGM) persatuan itu, pada 29 Disember ini, untuk menentukan masa depan Kelantan dalam penyertaan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Annuar mengambil pendekatan kunci mulut apabila enggan dirinya dikaitkan dengan badan induk bola sepak negeri itu termasuk peranan yang boleh dimainkan beliau bagi memastikan The Red Warriors (TRW) terus kekal beraksi dalam saingan liga domestik itu.

“Saya tidak boleh beri apa-apa komen kerana pertama, saya tidak lagi berada dalam Kafa dan kedua, saya tidak mahu ganggu apa-apa keputusan yang Kafa buat pada kongres itu nanti.

“Saya tidak mahu mempengaruhi apa yang hendak diputuskan oleh Kafa. Saya hanya boleh bertindak tidak lebih daripada seorang penyokong sekarang,” katanya pada sidang media sempena program Walimatul Urus Qubra 2016 peringkat Parlimen Ketereh, semalam.

Menurutnya, sebagai seorang peminat TRW, beliau kini lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta mengharapkan sesuatu yang positif dapat dimuktamadkan demi masa depan bola sepak Kelantan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Kelantan memutuskan menarik diri daripada sertai Liga-M gara-gara masalah kewangan yang cukup kritikal setelah gagal mendapatkan dana mencukupi sebelum bermula kancah musim baharu itu.

Kafa dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan itu bersaing secara kompetitif namun persatuan itu masih bergelut mendapatkan sumber kewangan selepas Annuar meletakkan jawatan, awal bulan lalu.

Annuar yang digelar Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan turut menolak untuk memberi kenyataan berhubung perkembangan positif yang melanda skuad pantai timur itu setelah dikatakan bakal mendapat suntikan kewangan daripada penaja tertentu, dalam masa terdekat.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");