Walaupun keluarga Arbaaz Khan puas memujuk Malaika Arora jangan bercerai namun supermodel India itu bertegas mahu meneruskan hasratnya itu.
Ketika menunggu segalanya selesai, aktor Arjun Kapoor dikatakan menjadi punca perpisahan Arbaaz dan Malaika. Khabar angin itu diperkukuhkan lagi apabila mereka berdua muncul di kediaman pereka fesyen Vikram Phadnis yang melancarkan filem pertama arahannya berjudul Hrudayantar.
Menurut sumber, Arjun sampai dulu di kediaman Vikram diikuti Malaika 15 minit kemudian. Ramai terkejut dengan kehadiran wanita jelita itu kerana jarang sekali mereka berdua tampil pada acara sama.
Walaupun mereka tidak banyak berinteraksi tetapi jemputan lain dapat merasakan ada sesuatu di antara mereka berdua. Ketika Arjun melakukan upacara memecahkan kelapa, Malaika memberi arahan cara melakukannya dari tempat duduknya.
Menafikan yang mereka ada hubungan istimewa, pada satu temu bual dengan majalah wanita di Bollywood, Malaika menggelar Arjun sebagai ‘seorang rakan baik’.
“Saya dan Arjun cuma berkawan tetapi orang mudah tersalah anggap,” katanya.
-Harian Metro