Jenayah

Auta ‘pegawai imigresen’

Kajang: Seorang ahli perniagaan lelaki bergelar Datuk kerugian lebih RM50,000 selepas diperdaya seorang lelaki menyamar sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen, Oktober lalu.

Suspek mendakwa sebagai timbalan pengarah imigresen di Putrajaya mendakwa mampu membekalkan pekerja warga asing selain menguruskan isu permit dan visa.

Mangsa berusia 54 tahun yang enggan dikenali mendakwa didatangi lelaki terbabit pada awal Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki itu yang muncul di kafe miliknya di Taman Dutamas, Balakong memberitahu boleh membantu mendapatkan pembantu rumah.

“Ketika itu sememangnya saya mencari pembantu rumah. Lebih meyakinkan saya apabila dia turut menunjukkan beberapa gambar pembantu rumah kepada saya dan isteri.

“Malah, lelaki berusia 40-an itu mendakwa mempunyai ‘kuasa’ melepaskan tahanan di dua Depoh Imigresen iaitu di Semenyih dan Melaka, selain menguruskan urusan visa pekerja asing,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memintanya menyediakan dokumen beserta wang tunai RM500 sebagai deposit.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya menyerahkan wang tunai RM500 kepadanya, 3 Oktober lalu di Bandar Tun Hussein Onn.

”Lelaki itu menghubunginya dan menawarkan seorang pekerja asing untuk bekerja di salun milik isterinya dengan bayaran RM2,800,” katanya.

Dia menyerahkan wang tunai RM800 sebelum dijanjikan pembantu rumah dan pekerja salun dalam tempoh tiga minggu.

“Hari berikutnya, lakonan lelaki ini semakin menjadi-jadi apabila memberitahu dia boleh membantu saya menguruskan penghantaran pulang warganegara Nigeria yang tamat tempoh visa dan tinggal lebih masa di negara ini melalui saluran ‘tiket waran kerajaan’ dengan bayaran RM3,450 seorang.

“Kebetulan saya juga menjalankan perniagaan sewa kenderaan dan ada pelanggan dari negara Nigeria. Selain itu, dia mendakwa boleh menguruskan permit kerja di Malaysia buat warga Nigeria dengan kadar bayaran RM16,000 seorang,” katanya.

Mangsa berkata, berikutan itu dia memberitahuseorang lelaki warga Nigeria yang juga pelanggan kereta sewanya terdapat pegawai imigresen yang boleh membantu menguruskan penghantaran pulang bagi mereka yang tinggal lebih masa serta membuat permit kerja.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");