Membawang Hari Ini

Bangga bakat dihargai

Wataknya sebagai Felisha benar-benar memberi impak dan berjaya membuatkan penonton setia drama bersiri Lara Aishah ‘benci’ dengannya.

Ia sekali gus membuatkan Sasqia Dahuri, 31, bertambah yakin dengan perjalanan kariernya sebagai pelakon.

Ini kerana apabila penonton mengingati watak lakonannya, itu bermakna lakonannya menjadi.

“Sekarang jika ke mana-mana, ramai yang mula menegur dan memanggil saya dengan nama Felisha. Bagi saya, itu adalah petanda positif kerana lakonan saya memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Bagi Sasqia, dia kini dapat melihat sendiri penonton dan peminat mula menghargai bakat lakonannya.

“Apabila orang mula nampak bakat dan kenal nama saya, saya anggap itu sebagai penghargaan sebagai pelakon. Saya ingin menjadi pelakon yang baik dan kalau boleh, mampu membawa apa saja watak yang diberikan,” katanya.

Menurut Sasqia, apa yang lebih menggembirakannya ialah apabila pelakon senior juga turut memuji lakonannya.

“Dian P Ramlee dan Datuk Shah Rezza yang turut membintangi drama Lara Aishah memberikan reaksi positif kepada lakonan saya. Itu menambah semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik dan menjadi satu kepuasan buat saya,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod, Misteri Wan Peah untuk slot baru, Seram Komedi di TV3.

Sasqia berkata, ini bukan kali pertama dia berlakon di bawah produksi JS Pictures kerana sebelum ini, dia pernah membintangi Satu Cinta arahan Jamal Khan.

“Apa yang membuatkan saya teruja ialah kerana untuk drama kali ini, ia diarahkan Sheila Rusly dan Jinggo sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai Misteri Wan Peah, genre drama itu benar-benar lari daripada kebiasaan kerana Sasqia sentiasa dilihat sebagai pelakon yang kerap memegang watak jahat.

“Drama ini bergenre seram komedi. Jadi, memang lari daripada watak yang selalu saya lakonkan. Selain mahu bekerja di bawah arahan dua pengarah hebat itu, saya juga menerima tawaran untuk berlakon dalam drama ini kerana jalan ceritanya yang bagus.

“Proses pembelajaran untuk saya yang masih baru ini tidak pernah berhenti. Apabila dapat bekerja dengan mereka yang hebat dalam industri, itu sedikit sebanyak membantu saya menambah ilmu,” katanya yang melakonkan watak Cikgu Siti dalam drama terbabit.

Turut berlakon ialah Normah Damanhuri dan Usop Wilcha.

Ditanya sama ada watak sebegitu mencabar kebolehannya sebagai pelakon, Sasqia tidak menafikannya.

“Mungkin nampak mudah, tetapi sebenarnya memang sangat mencabar. Bayangkan, watak saya sebagai guru, janda yang mempunyai seorang anak dan tinggal bersama adik.

“Kalau watak sebagai wanita yang jahat, saya boleh jerit dan ekspresikan menerusi wajah, tetapi untuk watak ini, saya perlu kawal diri supaya bersesuaian dengan watak yang saya bawakan,” katanya.

Sasqia berkata, dia juga tidak mahu terlalu selesa dalam kariernya dan mahu mencuba pelbagai watak lain.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");