Sukan Hari Ini

Bantu ringan beban

Kangar: Sekumpulan gabungan persatuan belia peminat bola sepak negeri Perlis tampil memberi sokongan dan bantuan dalam bentuk tajaan kecil serta pembukaan tabung bagi mengumpul dana membantu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang kini dilanda krisis kewangan bagi menghadapi Liga Perdana 2017.

Pengerusi Pergerakan Pemuda UMNO Perlis Syed Atif Syed Abu Bakar yang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat PFA di Behor Empiang, di sini, semalam berkata, pihaknya menawarkan diri menaja seorang pemain tempatan untuk PFA bagi musim 2017.

“Pergerakan Pemuda UMNO Perlis sedar beban kewangan ditanggung Presiden PFA Datuk Rozabil Abdul Rahman yang membelanjakan puluhan juta ringgit sebagai sumbangan peribadi beliau terhadap bola sepak Perlis sejak tiga tahun lalu

“Justeru itu, pergerakan ini berharap penajaan ini (seorang pemain tempatan) dapat membantu PFA mengembalikan kegemilangan Singa Utara,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat PFA, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung PFA Datuk Che Sulaiman Shapie.

Syed Atif berkata, pihaknya dukacita dengan keadaan awal PFA sebelum ini yang membayangkan bakal menarik diri daripada Liga Perdana 2017 kerana masalah kewangan lantas mengambil inisiatif bersama beberapa gerakan belia lain di negeri ini bagi mencari ikhtiar untuk membantu sukan nombor satu negeri itu.

“Kami berharap PFA menarik balik keputusan untuk keluar dari Liga Perdana 2017 serta berharap Datuk Rozabil terus kekal menerajui PFA.

“Kami yakin beliau tokoh pejuang yang tidak mudah putus asa khasnya dalam perjuangan memartabatkan PFA dalam arena bola sepak tempatan.

“Belia negeri ini amat meminati sukan bola sepak dan kami mahu PFA meneruskan usaha serta perjuangan selama ini. Kami sudah bangkit dari Liga FAM sebelum ini dan berada di kedudukan agak baik dalam Liga Perdana 2016.

“Justeru usaha persatuan-persatuan belia negeri ini diharap dapat membantu PFA meneruskan momentum, kerana tiada yang mustahil jika semua pihak berusaha. Perlis juga pernah menjadi juara Piala Malaysia suatu ketika dahulu,” katanya.

Menurutnya, gabungan persatuan belia berharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM100,000 untuk diberikan sebagai sumbangan kepada PFA sepanjang musim 2017.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) Noor Hairi Mohammed berkata, pihaknya bakal menggerakkan Tabung Singa Utara bertujuan mengumpul sumbangan khasnya dari kalangan belia di Perlis demi membantu PFA mengharungi Liga Perdana 2017.

“Selain Tabung Singa Utara, MBNPs akan berusaha mencari sumbangan dana RM10,000 sekiranya PFA bersetuju meneruskan saingan Liga Perdana tahun depan. PFA juga harus menyenaraikan sekurang-kurangnya lima pemain belia anak jati negeri Perlis dalam pasukan 2017,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Perlis Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman berkata, pihaknya yang juga sebahagian daripada peminat dan penyokong bola sepak Perlis akan membantu menggerakkan Tabung Singa Utara bagi mengumpul sumbangan untuk membantu PFA.

“Sebagai seorang bekas pemain Singa Utara, saya secara peribadi berharap isu ini dapat diselesaikan segera kerana masa untuk membentuk pasukan semakin suntuk menjelang sepak mula Liga Perdana 2017,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");