Membawang Hari Ini

Bawa karakter Kapten Mukhriz

Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Januari depan sememangnya memberi debaran dan tekanan buat semua 12 finalis.

Mana tidaknya, pentas berprestij itu bukan sahaja mengiktiraf komposer dan penulis lirik, malah akan menjadi catatan manis buat setiap penyanyi selain dapat mencantikkan lagi portfolio mereka.

Bertemu penyanyi Black pada majlis memperkenalkan pengacara dan pengumuman giliran persembahan finalis AJL31 baru-baru ini, penyanyi yang mempertaruhkan lagu Anugerah Terindah itu mengakui berdebar dan teruja untuk kembali beraksi di pentas gilang-gemilang itu.

“Alhamdulillah rezeki sekali lagi berpihak kepada saya untuk berada di pentas final ini. Terus terang, belum ada sebarang kata putus mengenai konsep persembahan yang bakal dilakukan kerana terdapat beberapa idea yang masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.

“Namun, memandangkan tema tahun ini adalah Cerita Dalam Lagu, saya bercadang untuk membawakan kembali karakter drama Sayangku Kapten Mukhriz kerana Anugerah Terindah adalah lagu tema drama terbabit,” katanya.

Menurut Black, tahun ini dia meletakkan sasaran untuk memenangi kategori vokal selepas kali terakhir dirangkulnya pada 2010 menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu.

“Jujurnya saya sasarkan untuk memenangi kategori vokal terbaik tahun ini. Namun, tidak dinafikan calon lain semuanya berbakat besar dan mempunyai kekuatan vokal masing-masing.

“Sebenarya saya sudahpun mula menjaga kesihatan diri dan menjalani latihan di gimnasium untuk memastikan stamina di atas pentas terkawal dan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Nurul Huda Khalid berkata, pemilihan pengacara Sarimah Ibrahim dan Awal Ashaari sebagai hos AJL31 bersama-sama pengacara sedia ada iaitu Fara Fauzana dan Fizie Hot FM bagi menyuntik kelainan dan memastikan acara itu berlangsung meriah sepanjang ia bersiaran.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar dan menghiburkan penonton selama tiga jam bersiaran bukan tugas mudah. Justeru, kami menambah dua lagi pengacara bagi menyuntik kelainan dan memberi persekitaran baru selepas program berkenaan dibawakan oleh Fara dan Fizie pada separuh akhir dan program mingguan.

“Saya percaya kombinasi ini akan menggegarkan malam AJL31 dengan keletah dan aksi spontan yang bakal mereka persembahkan,” katanya.

Ditanya mengenai tema Cerita Dalam Lagu pada penganjuran kali ini, Nurul Huda berkata, tahun ini pihaknya mahu mengangkat penulis lirik yang banyak berjasa dalam industri muzik tanah air.

“Selama tiga dekad AJL bersiaran, penulis lirik kurang diberi perhatian berbanding komposer dan penyanyi. Justeru, tahun ini kami mengangkat penulis lirik dengan membuat tribute terhadap beberapa penulis lirik terkenal yang banyak memberi sumbangan kepada industri seni tanah air,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");