Membawang Hari Ini

‘Berubah bukan untuk promosi diri’ – Natasha Hudson

KUALA LUMPUR: Pelakon dan peragawati, Natasha Hudson menyifatkan keputusannya untuk berniqab sebagai penghijrahan diri ke arah kebaikan yang tidak perlu digembar-gemburkan.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini juga menolak untuk mengulas lanjut mengenai penampilan terbaharunya yang dimuat naik menerusi laman sosial, Instagram, baru-baru ini.

Natasha, 34, berkata, cukup segala keterangan yang ditulisnya dalam laman sosial itu mengenai niatnya yang mahu lebih mendekatkan diri kepada Allah.

“Jika ingin bertanya mengenai perubahan diri saya, rasanya tiada apa yang perlu diulas lagi. Segala-galanya sudah saya kongsi menerusi blog. Saya berubah bukan untuk mempromosikan diri, malah tidak perlu memberitahu satu dunia setiap langkah yang dibuat.

“Lagipun, saya sudah tidak lagi berada dalam limpahan cahaya dunia hiburan,” katanya kepada BH Online.

Dalam kenyataannya di laman Instagram, ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Neesa Helena, Naeema dan Faatimah ini meluahkan keinginannya untuk menyucikan hati dan jiwa berpandukan kepada kitab Allah.

“Saya mungkin tidak mempunyai kekayaan dunia, tetapi saya mempunyai kotak tersembunyi yang penuh dengan buku berharga (merujuk kepada buku keagamaan dan al-Quran). Saya boleh lemas dalam lautan pengetahuan dengan semua ini.

“Ke mana kita fikir hala tuju nanti, jika kita tidak mencuri masa untuk menyerap semua ini sekali gus dapat mencantikkan hati dan menggilap jiwa ini,” tulis Natasha.

Hampir sedekad menceburi dunia lakonan, bakat anak kelahiran Ipoh, Perak ini pernah menerima pengiktirafan Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin, seterusnya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin ke-26 menerusi filem Lemak Kampung Santan.

Natasha yang berhijab sejak empat tahun lalu, perlahan-lahan menjauhi dunia hiburan selepas berumah tangga buat kali kedua dengan Mohd Khalid Mohd Kamal atau Carleed Khaza.

Kali terakhir, Natasha muncul membawakan watak pembantu dalam filem komedi, Mamak Cupcake bersama Shaheizy Sam dan Siti Saleha yang ditayangkan dua tahun lalu.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");