Sukan Hari Ini

‘Bisa Safee belum hilang’

PENGENDALI PKNS FC, E Elavarasan tidak melihat Safee Sali sebagai ‘kuda tua’, sebaliknya percaya pemain itu berada pada tahap tersendiri dan masih mampu untuk menyumbang sesuatu buat pasukan berkenaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Walaupun bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu semakin dimamah usia tetapi Elavarasan percaya ia bukan penghalang buat tonggak berusia 32 tahun itu untuk membawa perubahan kepada skuad tersebut.

Justeru itu, beliau menyambut baik kehadiran Safee sebagai antara peledak berbisa buat negara di pentas antarabangsa untuk diterjemahkan pengalaman dan sentuhannya bersama skuad Semut Merah pula.

“Saya yakin jika Safee berada dalam pasukan ini, ia akan memberi kesan positif kepada PKNS kerana pengalaman luasnya dalam saingan liga domestik serta antarabangsa boleh dimanfaatkan sebaiknya, sekali gus memastikan pasukan memberi tentangan sengit nanti,” katanya.

Dalam laporan kelmarin, Safee difahamkan bakal menyertai skuad Semut Merah daripada JDT selepas hampir tiga musim bersama Harimau Selatan.

Skuad kendalian Elavarasan yang muncul naib juara Liga Perdana di belakang Melaka United musim lalu akan beraksi dalam kancah Liga Super yang lebih mencabar dan sengit.

Selain Safee, Elavarasan turut berjaya memancing sembilan pemain tempatan yang bertaraf ‘bintang’ seperti Zamir Selamat (Perak), Azmi Muslim (Selangor), Affizee Mamat (Terengganu), Fauzan Dzulkifli (Pulau Pinang), Bobby Gonzales dan S Sivanesan (Felda United) Khyril Muhymeen (AirAsia), Sabree Mat Abu (Kedah) dan K Gurusamy (Sarawak).

Mengulas persiapan ketika ini, Elavarasan berkata, beliau masih menekankan aspek keserasian pemain sebelum saingan liga bermula Januari depan.

“Selain memikirkan perlawanan persahabatan, saya juga menekankan keserasian pemain kerana ada pemain baharu dan lama, jadi ia mungkin akan mengambil masa sedikit.

“Apa pun, saya percaya pemain akan mula bersedia sepenuhnya apabila musim baru bermula,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");