Sukan Hari Ini

Bola Shebby: Kesebelasan terbaik AFF

Hujung minggu ini menyajikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2016 yang bakal kita saksikan tanpa tekanan. Kita boleh menarik nafas lega kerana pasukan negara kita gagal melayakkan diri dan sejak minggu lalu, pelbagai pendapat sudah disuarakan.

Hinggakan, ejen bola sepak juga mahu terbabit melenting seperti kera kerana tidak setuju dengan analisa persembahan yang dibuat.

Kini, tiba masanya untuk kita meraikan persembahan cemerlang serta menarik perhatian. Sudah menjadi adat untuk saya memilih kesebelasan pemain yang bagi saya mempamer aksi menggembirakan.

Apabila kita memilih penjaga gol, sudah tentu kita tertarik dengan ‘handling’, ‘agiliti’ serta penguasaan kotak penalti. Di sini saya memilih penjaga gol Singapura Hassan Sunny kerana beliau mempunyai ciri ciri tambahan seperti ‘distribution’ yang banyak mencetus serang balas. Hassan begitu selesa melakukan teknik membuat ‘drop kick’ yang kemas dan menempuhi sasaran dengan peratusan yang tinggi.

Kelebihan ini saja yang memisahkan Hassan dengan Kawin Thamsatchanan dari Thailand serta Khairul Fahmi.

Di posisi bek kanan, kita sedia tahu kebolehan Tristan Do dari Thailand, tetapi pilihan saya adalah Rizal Ghazali bukan kerana saya berat sebelah, tetapi kita tidak boleh pertikaikan bahawa pemain ini membuktikan kebolehan dengan persembahan kemas serta konsisten melakukan tugas bertahan serta menyerang. Kita pasti tidak sangka bahawa ini adalah kali pertama dia beraksi di pertandingan antarabangsa.

Kita kembali ke Thailand untuk pilihan bek kiri, Theerathon Bunmathan yang makin matang dengan kaki kidal yang makin menyengat. Pemain ini berjaya melonjakkan prestasi dengan persembahan setiap kali saya menyaksikannya di atas padang. Berusia 26 tahun, pemain ini sudah bersedia untuk beraksi di tahap yang lebih tinggi seperti di Sepanyol atau Itali.

Di dalam pertandingan ini, pemain bek tengah dari Singapura Madhu Mohana menunjukkan gaya seorang pemain pertahanan sebenar. Dia tidak dapat di tewaskan sekiranya bola berada di atas padang atau di udara. Dia kental melakukan ‘tackling’ dan menunjukkan kepekaan terhadap ruang apabila merancang strategi pertahanan. Walaupun Thailand dan Vietnam mungkin mempunyai gandingan bek tengah yang baik, tetapi Madhu Mohana menonjol sebagai pertahanan terbaik individu.

Beraksi dengan empat pemain tengah, pemain Vietnam yang menyarung jersi nombor lapan, Nguyen Trong Hoang menunjukkan persembahan terbaik di sebelah kanan. Kebolehannya mara dengan bola menjadi kekuatan yang berjaya mengkucar kacirkan lawan serta membuka ruang untuk rakan sepasukan.

Di bahagian tengah, playmaker terbaik Asia Tenggara, Sarach Yooyen digandingkan ‘midfield dynamo’ dari Indonesia iaitu Stefano Lilipaly. Sarach mengawal tempo permainan Thailand dan mempunyai kebolehan membuat hantaran yang sukar di baca pemain lawan. Dia mempunyai aura dan semangat juang yang begitu tinggi.

Pemain tengah yang begitu bertenaga, Lilipaly membuktikan kebolehan sebagai ‘all round midfielder.’ Pemain pertama yang terbabit untuk menerkam bola sewaktu bertahan, pemain pertama yang menjadi option untuk rakan sepasukan membuat hantaran dan Lilipaly pula sudah membuktikan yang dia juga boleh melakukan penyudah.

Beraksi sedikit dari sebelah kiri bahagian tengah maka pemilihan Chanatip Songkrasin tidak dapat dipertikaikan. Pemain ini makin matang dan mempunyai kebolehan menggunakan ruang untuk memerangkap pihak lawan. Dia bijak menarik perhatian pemain lawan untuk lebih memerhatikannya dan langsung lupa kedudukan bola. Helah itu membuka ruang untuk rakan sepasukan mempunyai lebih masa menguasai bola.

Di bahagian serangan, kapten Thailand Teerasil Dangda sekali lagi menggunakan tenaga serta kekuatan tubuhnya untuk merobek pasukan lawan. Kini sudah tiba masanya untuk dia menjaringkan lebih banyak gol di peringkat separuh akhir menentang Myanmar.

Pemain Indonesia Boaz Solossa menjadi tonggak pasukan dengan kebijaksanaan membuat pecutan pendek ke belakang barisan pertahanan atau menggunakan ruang di depan pertahanan lawan untuk membuat hantaran kepada rakan sepasukan. Persembahan dia kini lebih kepada ‘short burst’ pergerakan atau larian dengan bola. Jika masa dulu dia melakukan pecutan empat puluh meter dengan dan tanpa bola, kini dia tidak kehilangan kemampuan pecutan, tetapi lebih menumpukan kepada sepuluh meter saja.

Untuk mengisi posisi serta melengkapkan kesebelasan terbaik saya maka kapten Vietnam Le Cong Vinh sekali lagi menjadi inspirasi pasukan sebagai pemain yang lengkap. Dia memiliki segala-galanya – ability, touch, vision, awareness, finishing.

Mungkin di peringkat kalah mati Piala AFF Suzuki 2016 akan menonjolkan persembahan individu yang terbaik, tetapi saya yakin pemilihan pemain ini yang masih lagi beraksi tidak akan berubah.

Untuk kesebelasan terbaik pilihan ini, saya memilih untuk formasi 3-4-3.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");