Sukan Hari Ini

Boleh bawa bincang

Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berharap isu membabitkan pengurusan Kompleks Tenis Kebangsaan Jalan Duta dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan semua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Azman Fahmi Osman berkata, andai ada pihak yang tidak berpuas hati dengan cara pengendalian pihak ketiga yang dilantik iaitu Tennis Town, mereka boleh berjumpa terus dengan pihaknya bagi membincangkan perkara berbangkit.

Katanya, PSM menyerahkan pengurusan kompleks itu kepada Tennis Town agar ia boleh dikendalikan secara lebih profesional.

Malah, harga yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak jauh bezanya dengan harga yang ditetapkan di gelanggang tenis lain.

“Tennis Town mula mengendalikan kompleks itu pada 2013 dengan kontraknya akan tamat akhir tahun ini. PSM menyerahkan kompleks kepada pihak ketiga (Tennis Town) agar mereka boleh membantu PSM menyelenggara tempat itu dengan baik.

“Harga sewaan yang dikenakan adalah berpatutan dan memang kompetitif dengan gelanggang yang lain. Tennis Town mengenakan harga mengikut kadar yang ditetapkan dalam perjanjian mereka bersama PSM.

“Jika benar mereka menaikkan harga sesuka hati mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Menjawab berhubung persoalan terhadap akademi yang dikendalikan oleh Tennis Town di kompleks itu, Azman menjelaskan Tennis Town mengikut prosedur biasa dengan membayar sewa untuk gelanggang nombor lima hingga lapan bagi digunakan untuk akademi yang mereka kendalikan.

Justeru, perkara itu bukanlah satu isu yang perlu dibangkitkan berikutan apa yang dilakukan itu tidak menyalahi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, PSM berkata, sebagai badan kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sentiasa mahu melihat perkembangan sukan di negara ini, PSM mengamalkan sikap keterbukaan kepada mana-mana pihak untuk berbincang bagi menyuarakan pandangan atau pendapat.

Katanya, perbincangan bersama Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) juga sudah dijalankan dalam usaha membantu badan induk itu mempromosikan tenis di Malaysia.

“PSM memahami impian LTAM untuk mempromosi semula tenis. Kami menyokong niat mereka dan kini dalam proses perbincangan bersama pengurusan LTAM dan kita akan bantu mereka,” katanya yang turut memaklumkan akan menaikkan taraf Kompleks Tenis Kebangsaan untuk penganjuran Sukan SEA 2017.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");