Membawang Hari Ini

‘Boleh jaga akhlak’

Kali terakhir Man Raja Lawak berlakon ialah Jun lalu dan selepas itu tiada lagi tawaran untuknya beraksi.

Bagaimanapun, Allah SWT menggantikannya dengan rezeki yang lain apabila dia diambil sebagai pengacara untuk pelbagai majlis serta moderator majlis ilmu anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di masjid dan surau seluruh negara.

Man, 38, yang juga bekas peserta program Raja Lawak musim kelima itu sudah lima tahun menjadi moderator untuk program PPZ.

Pernah mereka mengambil pelawak lain tetapi nampaknya kurang serasi lantas memanggil Man semula.

“Saya bersyukur dengan kepercayaan PPZ kerana dengan tawaran berlakon yang tidak menentu, ada jalan lain untuk menampung hidup saya sekeluarga. Bayaran pun bagus dan kerjanya pun tidak lama.

“Sebagai moderator majlis ilmu dan bercampur dengan ustaz serta ahli agama, saya amat bertuah kerana dikelilingi mereka. Secara tidak langsung saya boleh menjaga akhlak, perlakuan, cara berpakaian dan percakapan saya. Itu satu perkara baik untuk saya.

“Golongan ustaz sekarang bukan macam dulu lagi kerana mereka pun sudah jadi ‘public figure’. Sudah ada peminat dan pandai melawak. Jadi dengan adanya saya, ia menambahkan lagi keceriaan pada majlis itu. Namun, lawak yang saya sampaikan bukan sembarangan kerana saya kena lihat pada audien dan jenis majlisnya. Itu mengajar saya berhati-hati, dalam gelak ketawa mesti ada juga ilmu di dalamnya sesuai tajuk ceramah yang disampaikan,” katanya.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kasim berkata, dia selalu berada di pentas ceramah dengan penceramah terkenal dan paling kerap dia bersama Akhil Hayy.

“Apa yang kelakar, disebabkan kerap bersama Akhil Hayy, ada yang menggelar saya ‘Ustaz Akhil Baligh,” katanya sambil ketawa.

Disebabkan pembabitannya dalam program PPZ, masyarakat tidak lagi bersangka buruk dengannya sebagai pelawak yang mungkin selama ini menganggap dia hanya penghibur semata-mata.

“Penganjur juga semakin percayakan saya dan banyak tawaran saya terima sebagai moderator, cuma saya kena pilih lokasi dan skop yang sesuai. Kadang-kadang apabila penceramah ketandusan idea untuk berceramah, saya akan cadangkan topiknya,” katanya yang suka menonton program agama kendalian Ustaz Kazim Elias.

Terbaru, ada syarikat mahu mengikat kontrak selama dua tahun dengan Man dan Rahim Sepahtu untuk mengadakan program ilmu dan konsert dua kali sebulan di seluruh negara.

“Saya sangat bersyukur dengan tawaran itu, namun ia masih dalam perbincangan. Sebenarnya, saya memang rindu berlakon, tapi apakan daya tawaran tidak ada. Bagaimanapun, bukan saya saja yang sukar mendapat tawaran berlakon, tetapi ada juga pelakon yang mempunyai nama besar sudah lebih setahun tidak dapat tawaran,” katanya.

Man berkata, buat masa ini dia mahu membuat projek kecil dengan Caca Raja Lawak berkonsepkan kempen kemasyarakatan.

“Kami pernah suka-suka hasilkan video mengenai isu lupa dan dimuat naik dalam YouTube. Ia berupa pesanan seperti kalau bawa motosikal jangan lupa bawa lesen dan jangan lupa pakai topi keledar.

“Tak disangka dalam masa empat hari dimuat naik ia mendapat lebih dua juta tontonan. Lantas saya terfikir untuk menghasilkan projek sama dan konsepnya masih berkisar mengenai kempen kemasyarakatan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");