Membawang Hari Ini

‘Bukan bolot semua’

Selepas namanya dinobatkan juara program Gegar Vaganza musim kedua tahun lalu, jadual kerja pelantun lagu Memori Berkasih ini cukup padat.

Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana ini tidak henti dihujani tawaran demi tawaran baik dalam karier lakonan mahupun nyanyian.

Selain itu, penyanyi berusia 32 tahun ini turut berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Biarpun terpaksa kerja siang dan malam demi mencari nafkah membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Rayya Nakhaie, 8, Nana tidak pernah mengeluh.

Nana sentiasa komited dalam mengembangkan karier seninya walaupun kadang-kadang dia mengakui kudratnya tidak tertanggung.

Apa yang pasti, setiap tawaran yang datang akan digunakan sebaik-baiknya.

Walaupun ada pihak mendakwa Nana seolah-olah mahu mengaut semua kerja pada satu masa, Nana menafikannya.

Menurut Nana, dia tidak bermaksud mahu membolot setiap tawaran yang datang tanpa mengambil kira kemampuan diri.

“Bohonglah kalau saya cakap tak rasa penat, tapi apabila fikir-fikir semula, peluang yang datang bukan selalu. Lagipun, setiap tawaran ini adalah rezeki buat kami sekeluarga.

“Sebenarnya, setiap kerja yang saya terima ia juga satu bentuk proses pembelajaran baru buat saya. Saya akan belajar perkara baru yang bagus untuk saya sebagai seorang yang berkecimpung dalam industri hiburan. Jadi, bukanlah niat mahu bolot semua tawaran yang datang,” katanya.

Berdebar nak berlakon teater

Nana kini terpaksa ‘berlari’ ke sana sini buat sementara waktu memandangkan terikat dengan sesi latihan secara intensif bagi menghadapi pementasan teater Dia Semanis Honey yang bakal menemui penonton pada 3 hingga 9 Januari tahun depan.

“Jadual saya setiap hari agak penuh. Kami biasanya akan mula berlatih dari jam 2 petang hingga lewat malam baru selesai.

“Komitmen untuk teater sememangnya cukup tinggi. Memang banyak masa dihabiskan untuk berlatih apatah lagi ini pengalaman pertama saya berlakon teater.

“Cumanya, mana-mana tawaran yang saya sudah terima sebelum ini, saya tetap akan penuhi memandangkan ada yang sudah berjanji tiga bulan lebih awal. Tidak elok pula kalau saya batalkan.

“Jadi, sebenarnya memang tidak ada istilah nak kaut semua tawaran persembahan,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan untuk teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya itu, Nana berkata, dia gementar untuk berlakon teater buat pertama kali.

“Saya suka menggoyangkan badan ketika bercakap. Perkara itulah yang selalu ditegur pengarah. Ini kerana pergerakan badan itu sebenarnya akan mencacatkan mutu persembahan kerana penonton akan terganggu dengan gerakan badan yang tidak sepatutnya.

“Pada masa sama, suara saya ini kecil. Untuk berlakon teater kita perlukan lontaran suara yang jelas dan dari perut. Lebih sukar sebenarnya daripada berlakon drama sebab banyak aspek yang perlu diambil kira dan tidak boleh tersilap. Selain berlakon, dalam teater itu nanti saya juga perlu menari dan menyanyi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Aliff Satar dalam teater arahan Dira Abu Zahar itu.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");