Membawang Hari Ini

Bukan mudah ajak Haliza berlakon

Haliza Misbun tidak pernah meninggalkan dunia lakonan, cuma dia tidak mendapat jalan cerita yang menarik dan kecewa dengan perkembangan industri filem serta drama.

Pelakon berusia 43 tahun ini berkata, apabila seseorang pelakon wanita sudah berusia 40 tahun ke atas pasti dia akan diberikan watak sebagai kakak atau ibu. Tawaran berlakon ada tetapi disebabkan perkara itu dia tidak terasa untuk menerimanya.

“Saya mahu mereka keluar dari kepompong itu dan ini yang saya perjuangkan sekarang. Lagipun, syarikat produksi sekarang juga banyak ragam.

“Jadi, saya hanya akan terima tawaran daripada rakan yang saya kenal, tahu kerja mereka dan mereka juga tahu kerja saya macam mana,” katanya.

Terbaru, Haliza yang mencipta populariti menerusi drama bersiri Cinderella yang ‘meledak’ pada lewat 1990-an muncul dalam drama Selamat Malam Tan Sri arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

“Ia bukanlah ‘comeback’ saya dalam bidang lakonan, tetapi saya akan berlakon apabila terasa untuk melakukannya. Minat itu didorong pelbagai faktor termasuk jalan cerita yang baik selain saya kenal penerbit atau pengarahnya, maka dapatlah sesekali melepaskan rindu berlakon.

“Jika tidak berlakon saya akan sibuk dalam bidang perniagaan hartanah. Saya tak boleh duduk goyang kaki kerana ada keluarga yang perlu dijaga,” katanya.

Dalam drama Selamat Malam Tan Sri yang antara lain menemukan dirinya kembali dengan teman seperjuangan, Datuk Eizlan Yusof.

Dia membawa watak Datin Suhaila manakala Eizlan sebagai Tan Sri .

“Datin Suhaila adalah watak antagonis yang tidak membosankan. Pengurus eksekutif drama ini pula Akhbar Hashim yang saya sifatkan bakat jarang ditemui, manakala Raja Mukhriz adalah antara pengarah terbaik,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berlakon dengan Eizlan selepas kali terakhir dipertemukan dalam sebuah drama kira-kira dua dekad lalu, Haliza berkata, Eizlan pelakon hebat dan amat bersemangat.

“Saya tertanya-tanya juga kenapa bakatnya belum dipandang dan diberikan pengiktirafan,” katanya.

Kali terakhir Haliza berlakon dalam telefilem Kembali Kepada Fitrah, arahan Ismail Yaacob pada 2014 dan Mengintai Syurga Mama terbitan Zeel Production.

Dalam pada itu, ramai yang agak kurang senang dengan sikap Haliza yang dikatakan suka mengikut kata hatinya saja dan baran, namun dia menafikannya.

“Saya bukanlah orang macam itu. Jika tiada yang sengaja cuba mencuit naluri saya, takkan saya sesuka nak naik angin,” katanya.

Tidak mahu kahwin kerana terpaksa

Haliza yang masih bersendirian hingga ke hari ini enggan berkahwin kerana terpaksa semata-mata untuk kelihatan lengkap dan sempurna pada mata masyarakat.

Katanya, dia hanya akan mendirikan rumah tangga jika mempunyai sebab yang kukuh dan bukan kerana desakan mana-mana pihak.

“Ibu saya pun sudah malas nak bertanya mengenai kahwin kerana dia sudah tahu jawapannya. Saya rasa diri saya sudah sempurna dan jika ingin berkahwin pun perlu ada sebab yang betul-betul kuat.

“Saya tidak perlu ada pasangan untuk rasa sempurna dan bergantung harap, tetapi itu tidak bermakna saya menentang ikatan perkahwinan. Ia hanyalah pendapat peribadi saya saja.” katanya.

Haliza juga mengamalkan ‘awet muda’ dengan meminta anak saudara panggilnya Liz saja dan bukan ‘auntie’ Liz.

“Ia benar-benar memberi aura positif kepada saya untuk tampak muda dan bertenaga,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");