Membawang Hari Ini

Bukan mudah cari pelapis

Tiga dekad memperjuangkan irama etnik, penyanyi Noraniza Idris, 48, terus aktif memartabatkan genre ini dengan terbabit dalam pelbagai acara bersama masyarakat bagi mempromosikan budaya dan tarian Melayu.

Berkongsi perancangan seninya tahun depan, juri tetap program realiti 3 Juara ini akan bekerjasama dengan sebuah stesen televisyen untuk menerbitkan program khas irama etnik.

“Siaran program ini sekali saja kerana mahu melihat sambutan orang ramai sebelum memutuskan sama ada ia diteruskan atau tidak,” katanya pada pelancaran produk kecantikan dan kesihatan, baru-baru ini.

Noraniza berkata, sebagai pengendali program budaya, dia perlu mencari pendekatan terbaik bagi menarik penyertaan orang ramai.

“Apabila dengar program mengenai tarian zapin, pasti ramai ingat ia membosankan. Namun apabila hadir menonton, mereka seronok pula,” katanya.

Noraniza turut mengakui susah mencari pelapis bagi menggantikan tempatnya memandangkan generasi muda sekarang lebih cenderung kepada muzik moden.

“Ada yang bertanya kenapa saya tidak mencari pelapis. Hakikatnya ia tidak semudah disangka. Memang ada penyanyi muda berbakat menyanyikan lagu etnik, tetapi mereka mudah dipengaruhi budaya luar dan mahu cepat naik,” katanya.

Menurut Noraniza, anaknya, Fee Haiqal, 23, juga kurang berminat meneruskan perjuangannya mengangkat irama etnik kerana meminat R&B.

“Bagaimanapun, Fee ada jiwa irama etnik. Ini dapat dilihat menerusi lagu ciptaannya yang menyelitkan irama ni,” katanya.

Dalam pada itu, Noraniza mendedahkan ada perancangan mahu berhenti terbabit dengan program sedemikian, namun ada saja halangan yang membantutkan hasrat itu.

“Apabila cuba beralih arah, ada saja tawaran datang. Justeru, saya menganggap tawaran ini sebagai pembuka jalan kepada peluang lain.

“Bagaimanapun, saya tidak akan bersara menyanyi cuma mahu lebih fokus kerja belakang tabir,” katanya.

Menurut Noraniza, dia akan meminta izin suami sebelum membuat sebarang keputusan.

“Apa saja urusan berkaitan karier seni saya akan serahkan kepada suami untuk putuskan. Ini kerana saya mahu restu dan doa daripadanya,” katanya.

Selain dilantik menjadi duta produk kecantikan dan kesihatan, Noraniza akan melancarkan tudung jenama sendiri yang diusahakan bersama anak sulung, Alif Haiqal, 27, Januari depan.

“Idea mengusahakan perniagaan tudung dicetuskan Alif yang minat berniaga,” katanya.

Pada bulan sama, Noraniza akan melancarkan single baru berjudul Wangikanlah Hatimu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");