SHAH ALAM – Peratusan sokongan anak muda Melayu ke dalam DAP tidak pun melebihi 10 peratus dari keahlian yang ada, menurut penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib menangkis andaian kadar pertambahan perpecahan undi orang Melayu pada pilihan raya.
Menurutnya lagi, sokongan orang Melayu ke atas DAP bersifat sementara memandangkan senario semasa masih lagi memperlihatkan sokongan dominan orang Melayu ke atas Umno, Pas serta PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Pemimpin DAP pun ramai dari kalangan bukan Melayu. Memanglah sokongan orang Melayu ke atas DAP akan memecah belahkan undi Melayu tetapi harus juga diingat, adakah pemimpin dan perwakilan DAP sedia ada dalam parti itu dari kalangan bukan Melayu suka sangat dengan kehadiran ramai orang muda Melayu dan sanggupkah mereka mengangkat ramai orang Melayu menerajui kepimpinan tertinggi.
“Adakah DAP sudah bersedia memberi laluan anak muda Melayu untuk di latih menjadi Setiausaha Agung dan Pengerusi parti itu?” tanyanya.
Tambahnya lagi, DAP tidak pernah meminggir atau menganaktirikan anak Melayu yang menyertai parti itu.
“Sebaliknya kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, pihaknya memberikan kelayakan dan penghormatan sama rata antara anak Melayu dengan kaum lain yang turut menyertai parti tersebut.
“Jadi saya lihat tarikan DAP ke atas anak muda Melayu hanya berkisar pada soal bermusim dan tidak pun memberi kesan signifikan yang mampu menukar parti itu dari dominasi Cina kepada pola yang lebih majmuk dan mesra Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.-sinar harian