Membawang Hari Ini

Buntat popularkan Ariff

SEJAK akhir-akhir ini, nama Buntat menjadi bualan ramai. Mana tidaknya, watak anak istimewa dalam drama slot Akasia, TV3 7 Hari Mencintaiku berjaya mencuri tumpuan penonton yang begitu terkesan dengan kesedihan dan kesakitan yang dialami Buntat.

Watak yang dilakonkan Muhammad Ariff, 12, itu benar-benar hidup seolah-olah Buntat juga mempunyai karakter yang sama di luar lokasi.

Lakonan Ariff bersama jalan cerita berjaya meruntun hati penonton lebih-lebih lagi ketika watak Buntat dimatikan pada episod 21 drama terbabit.

MH berkesempatan bertemu Ariff di kediamannya di Jitra, Kedah dan mendengar kisah di sebalik popularitinya kini.

Fizikal Buntat dalam drama dan kehidupan seharian Ariff tidak jauh berbeza.

Menurut ibunya, Rosdiana Mastura Abdullah, 29, Ariff disahkan menghidap disleksia sejak berusia tujuh tahun lagi.

Namun siapa sangka, kanak-kanak istimewa ini dikurniakan bakat terpendam yang berjaya menyentuh emosi penonton.

Bermula dengan filem Jibam

Sebelum muncul dalam drama berkenaan, Ariff terlebih dahulu ditemui oleh pengurusan sebuah produksi yang menawarkan watak utama dalam filem Jibam.

Menurut Rosdiana, karier Ariff bermula setelah produksi itu berminat mengambil Ariff untuk watak utama filem terbabit iaitu, Jibam.

“Ketika mendapat tawaran terbabit, saya tidak tahu nak terima atau tidak, kerana bimbang Ariff tidak dapat beri yang terbaik seperti pengarah inginkan.

“Penyakit yang dihidapinya itu menyebabkan dia mempunyai masalah membaca. Oleh itu, Ariff ditawarkan seorang guru untuk membantunya menghafal skrip,” katanya.

Rosdiana berkata, Ariff dibimbing oleh Naque Ariffin dalam menghafal skrip selain mendapat tunjuk ajar dari pengarah filem berkenaan.

“Bagi drama 7 Hari Mencintaiku, saya sendiri membantu Ariff menghafal skrip dan sering berlakon bersamanya untuk beri lebih pemahaman terhadap babak yang perlu dilakonkan,” katanya.

Menurutnya, Ariff memberi kejutan yang sangat besar kepada keluarga, dari seorang yang gemar melakukan hal sendiri, dia kini sudah bijak berkomunikasi dengan orang ramai.

“Keyakinannya semakin tinggi dan ketika kali pertama saya bawa dia berjumpa peminat Khamis lalu, Ariff dapat mengawal suasana dengan baik.

“Saya akui pada awal kemunculannya, Ariff agak janggal apabila tiba-tiba menjadi tumpuan ramai.

“Namun kami sekeluarga banyak menasihatinya dan terangkan situasi yang dihadapinya sekarang.

“Kadang-kadang dia menangis juga bila letih melayan peminat seharian, tapi bila kami terangkan, dia faham,” katanya.

Rosdiana berkata, buat masa sekarang, dia menerima tiga tawaran berlakon untuk Ariff namun mereka sekeluarga masih belum membuat keputusan.

“Lagipun, saya dan suami belum sempat meneliti skrip untuk watak yang diberikan kepada Ariff,” katanya.

Rindu Marlia Musa

Sementara itu, Ariff melahirkan rasa rindu untuk bertemu pelakon yang juga isteri Datuk M Nasir iaitu Datin Marlia Musa.

“Sebelum ini, dah pernah jumpa Datin Marlia sekali, sekarang rindu lagi nak jumpa dia,” katanya ramah.

Sebagai kanak-kanak yang sedang membesar, Arif juga mempunyai makanan kegemarannya iaitu nasi goreng ayam kunyit.

Katanya, dia juga tidak menolak makanan barat yang menjadi antara menu pilihan iaitu chicken chop dan piza.

Sebagai orang baru dalam lakonan, Ariff berkata, dia banyak menonton drama untuk belajar dan melihat teknik yang betul dalam lakonan.

Menurutnya, lakonan Puteri Balqis juga antara yang menjadi rujukannya.

“Saya dan ibu selalu menonton drama lakonan Puteri Balqis sebab cuba nak hayati babak seperti menangis dan memahami setiap watak yang diberikan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");