Berita Hari Ini

Caj jalur lebar syarikat telekomunikasi dipantau

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa memantau caj perkhidmatan jalur lebar yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi bagi memastikan ia adil dan munasabah berdasarkan peraturan dan prinsip di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Dalam jawapan bertulisnya, KKMM berkata pemantauan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan caj perkhidmatan telekomunikasi di negara ini semakin turun.

“Ini adalah disebabkan oleh kesan persaingan sengit dalam kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya.

Jawapan itu sebagai menjawap soalan Senator Tan Sri S Nallakaruppan yang ingin tahu apakah kerajaan akan memastikan caj bagi langganan Internet jalur lebar yang dikenakan syarikat telekomunikasi dapat diturunkan kepada kadar yang lebih rendah dan mampu milik, memandangkan mereka telah diberikan pelbagai insentif dan penyata kewangan juga menunjukkan keuntungan yang amat besar telah dicatatkan mereka.

KKMM berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak pemberi perkhidmatan telekomunikasi sentiasa mencari kaedah terbaik dalam memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada seluruh rakyat.

“Pada masa ini, caj-caj bagi perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia adalah tidak dikawal dan bergantung kepada perancangan komersial oleh pihak pembekal-pembekal perkhidmatan masing-masing.

“Oleh itu, syarikat-syarikat telekomunikasi diberikan kebebasan dalam menetapkan kadar bagi perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar bagi mewujudkan persaingan yang sihat, menarik pelaburan dan seterusnya berlumba menyediakan mutu perkhidmatan terbaik mengikut keperluan dan mampu milik pengguna.

“Hasil daripada persaingan yang wujud di antara pembekal perkhidmatan telah terbukti mampu menurunkan harga pasaran dan akhirnya memberi keuntungan kepada pengguna,” kata KKMM.

Ia berkata kepelbagaian dari segi caj itu adalah berikutan langkah kerajaan meningkatkan persaingan dan seterusnya menurunkan caj selain perkhidmatan jalur lebar dapat ditawarkan pada kadar mampu milik.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");