Sukan Hari Ini

Cedera faktor Turtles tumbang

TIADA apa salahnya dengan Kamal Alfiza Shafie apabila apit kanan Terengganu Turtles itu dikeluarkan pada awal set kedua menentang Penang Panthers dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016 kelmarin, kecuali atas sebab kecederaan uratnya yang mendesak.

“Dia sudah bermain begitu bagus sehingga lawan tidak mampu menangkis atau mengadang rejamannya tetapi dia mengadu sakit, tidak boleh melompat tinggi jadi kami gantikannya dengan Fadzli (Roslan),” kata pengurus Turtles, Shafei Sulong.

Pertukaran ini jelas mengubah rentak pertemuan ‘El Clasico Babak II’ sepak takraw ini menyebelahi Panthers yang kemudiannya meranapkan rekod tanpa kalah lawan dalam perlawanan ke-12 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Serdang Jaya.

Turtles tumbang di depan hampir 2,000 hadirin stadium itu buat kali pertamanya, 21-17, 14-21, 16-21 yang berlanjutan sehingga 86 minit dan sedramatik pertemuan pertama kedua-duanya, 11 November lalu yang dimenanginya, 21-16, 14-21, 21-19.

Turut mengesahkan tiket separuh akhir kedua selepas Turtles, Sabtu lalu, Panthers mulanya menurunkan tekong Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak dan pengumpan Zaim Razali sebelum memasukkan apit kanan utamanya, Azlan Alias pada pertengahan set pertama.

Turtles yang deretan 11 kemenangan berturut-turut mereka terkandas kali ini, mempertaruhkan Zulkifli Razak, Kamal Alfiza Shafie dan Azwan Muhrim tetapi turut terpaksa menukar pelibas dengan Fadzli yang baru pulih daripada insiden kecederaan pertemuan sulung lalu.

Skuad Mohd. Helmi Ismail kini mengumpul 18 mata tetapi masih jauh untuk menggugat Turtles (22 mata) dari status teraju divisyen namun memadai untuk meninggalkan cuma dua lagi slot separuh akhir sambil berbaki tiga lawan termasuk Melaka Titans, Ahad ini.

“Sepak takraw sukan yang berseni dan apabila Fadzli yang lama direhatkan, masuk menggantinya, masih memerlukan masa untuk mendapat rentak rejaman dan lontaran,” jelas Shafei.

Kata pengurus Panthers, Jeffary Malek, “Alhamdulillah kami dapat pecahkan tradisi kemenangan Turtles hari ini yang meyakinkan kami untuk terus menang baki liga dan berharap dua lawan akhir Turtles juga dapat menyekat mereka.

“Percaturan kami meletakkan Zaim sebagai apit kiri (sebelum ini Suhairi Sulaiman) menjadi, begitu juga apabila kami menukar Kamal Ishak dengan Azlan. Zaim bagus dan tangkas dalam membaca servis berhelah lawan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");