Membawang Hari Ini

Cukup-cukup Butterfingers

Persembahan Butterfingers di Rockaway Festival di Bukit Jalil Extreme Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini memang dinanti-nantikan peminat mereka.

Selepas menghasilkan album Kembali pada 2008, Butterfingers yang dianggotai Emmett (penyanyi, gitar), Loque (gitar), Kadak (bass) dan Loco (dram) yang sinonim dengan muzik grunge pada pertengahan 1990-an ini terus menyepi.

Ketika itu Emmett sudah berhijrah ke Kanada, manakala Loque meneruskan perjuangan muziknya dengan kumpulan baru iaitu Monoloque.

Jadi, apabila penganjur Rockaway Festival mengumumkan Butterfingers bakal mengadakan persembahan dalam konsert berkenaan, ramai yang mula memperkatakannya.

Lebih-lebih lagi kemunculan semula Emmett yang kali terakhir bersama Butterfingers dalam persembahan di Sunburst Music Festival pada 2009.

Maka, ramailah yang membuat andaian Butterfingers akan kembali menghangatkan dunia rock tempatan.

“Itu persembahan ‘throwback’, bukannya ‘comeback’. Butterfingers tetap ada, cuma ia takkan aktif seperti dulu,” kata Loque ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurut Loque, Butterfingers hanya akan bersama untuk persembahan saja. Itu pun jika ada tawaran yang bersesuaian.

“Kalau bayarannya bersesuaian dan semuanya okey, kami akan bergabung kembali untuk persembahan itu. Kalau tanya pasal lagu baru, memang tak akan adalah. Cukuplah 20 tahun Butterfingers mewarnai industri muzik tempatan,” katanya.

Loque berkata, sekarang tumpuannya lebih kepada Monoloque.

Menurut Loque, Butterfingers yang sudah menghasilkan enam album studio termasuk dua album kompilasi dan tiga video cakera padat mahu mengikut jejak band rock legenda di dunia serta tanah air.

“Search sudah 35 tahun, Wings pula 30 tahun dan kami berusia 20 tahun. Kami tidak akan menghasilkan album lagi. Kalau ada pun, mungkin dalam format ‘reissue’ atau ‘repackage’ album terdahulu. Ini yang dilakukan band legenda Barat seperti Pink Floyd dan Led Zeppelin,” katanya.

Butterfingers yang ditubuhkan pada 1993 tampil dengan album sulung berjudul 1.2 Milligrams. Pada peringkat awal, pengaruh grunge cukup ketara hingga mereka digelar ‘Nirvana wannabe’ berikutan vokal Emmett dikatakan saling tak tumpah seperti penyanyi Nirvana, Kurt Cobain.

Namun, bermula dengan album ketiga Transcendence pada 1999, hala tuju muzik Butterfingers berubah sama sekali.

Walaupun elemen grunge dan rock & roll masih ada, Loque yang juga pengasas Butterfingers dalam satu temu bual mengatakan muzik mereka boleh dipanggil sebagai ‘Butter Music’.

Dalam erti kata lain, ia muzik yang lahir dari jiwa mereka dan seiring dengan kematangan dalam menghasilkan lagu.

Dalam pada itu, ada peminat Butterfingers kurang berpuas hati dengan persembahan mereka di Rockaway Festival kerana dikatakan hanya membawa lagu daripada album Selamat Tinggal Dunia dan bukannya album terawal mereka.

“Kami memang merancang membawa lagu daripada album 1.2 Milligram dan Selamat Tinggal Dunia saja. Kami bermain sebelum band Third Eye Blind. Persembahan mereka pula hanya tamat jam 11 malam, jadi kami terpaksa memendekkan persembahan dan membuang banyak lagu.

“Bagi saya, itu tak perlu dijadikan isu. Lagipun, kami ada hak nak memainkan apa saja lagu,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");