Jenayah

Dah 4 bulan ditahan

Dungun: Tiga nelayan daerah ini yang ditahan atas tuduhan menceroboh perairan Indonesia pada 1 Ogos lalu masih berada di pusat tahanan sementara di Batam dan tidak pasti bila akan didakwa.

Tekong bot, Leong Biang Seng, 59, dari Kampung Batu 6 serta dua awak-awaknya, Mohd Ridzuan Ngah, 45, dari Seberang Pintasan dan Azmi Abdullah, 38, dari Kampung Rajawali, Pulau Serai, tertanya-tanya nasib mereka yang tiada kata putus.

Pemilik bot, Mohamad Abdul Ghani, 58, berkata, dia menerima panggilan daripada Leong kelmarin memaklumkan mereka bertiga masih ditahan di Batam.

Menurutnya, tiga lelaki itu keluar ke laut pada jam 9 malam 21 Julai lalu dan sepatutnya pulang ke Dungun pada 28 Julai.

“Selepas tarikh itu, saya bimbang kerana gagal menghubungi mereka hinggalah Leong menghubungi dan memaklumkan mereka ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 1 Ogos kerana didakwa menceroboh perairan negara itu.

“Saya tidak tahu sama ada pihak berkuasa Indonesia akan mendakwa atau membebaskan mereka yang sudah hampir empat bulan berada di pusat tahanan,” katanya.

Mohamad berkata, awak-awaknya tidak pernah menceroboh perairan Indonesia, Thailand atau Vietnam.

“Saya pernah pergi berunding dengan pihak berkuasa Indonesia dan mereka memaklumkan masih menjalankan siasatan dan akan memaklumkan bila awak-awak ini akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Isteri Leong, Kitik Awang, 50, yang berasal dari Nenasi, Pahang, berkata dia risaukan kesihatan suaminya yang menghidap kencing manis.

“Saya kerap menghubungi suami namun dia meminta saya tidak risaukan keselamatannya. Dia meminta saya mengirim wang perbelanjaan makan serta minumnya,” katanya di rumahnya di Taman Batu 6, di sini.

Abang Mohd Ridzuan, Aziz, 55, berkata, adiknya sepatutnya berkahwin dengan gadis pilihan awal Ogos lalu namun tertangguh selepas ditahan.

“Saya harap ada pihak membantu membebaskan Mohd Ridzuan dan rakan-rakannya,” katanya.

Sementara itu, pesara polis marin yang juga bapa Azmi, Abdullah Salleh, 72, berkata, anaknya yang masih bujang itu sudah dua kali menghubunginya dan memintanya mengirim wang belanja.

“Azmi ada memberitahu mungkin tekong botnya tersilap jangkaan hingga menyebabkan mereka termasuk ke perairan negara jiran dan mereka dikejutkan daripada tidur oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");