Isu Panas

DAP bantah pertukaran alamat pemilih

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya DAP mahu siasatan dilakukan pihak bertanggungjawab berhubung isu pendaftaran pertukaran alamat yang luar biasa di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

Anggotanya, Tan Hong Pin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Ketiga 2016 pada 18 November hingga 1 Disember 2016 lepas yang mana beberapa kawasan telah menunjukkan pendaftaran pertukaran alamat yang begitu tinggi.

Menurutnya, ini termasuklah kawasan Nusajaya dengan 2,857 pengundi, Puteriwangsa (2,941), Permas (2,156) serta Mahkota membabitkan seramai 1,244 pengundi.

“Di Nusajaya, Puteriwangsa dan Permas merupakan Dun yang terletak di kawasan bandar raya ini dan mungkin menyebabkan pendaftaran pertukaran alamat didorong oleh urbanisasi di mana ramai penduduk luar bandar pindah masuk ke kawasan tersebut.

“Tetapi, saya agak hairan dengan bilangan pemilih yang berpindah masuk ke Dun Mahkota di bandar Kluang. Setahu saya, kawasan perumahan baru yang besar-besar hampir semua berada di kawasan Mengkibol bukannya Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghantar surat bantahan untuk kawasan Dun Mahkota serta ditemani Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How di luar Pejabat Pilihan Raya (SPR) negeri Johor, Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek, di sini, semalam.

Hong Pin yang juga Adun Mengkibol berkata, sejak suku pertama 2015, kedua-dua Dun Mahkota dan Mengkibol di bawah Parlimen Kluang mencatatkan pertumbuhan bilangan pemilih yang pesat iaitu 3,817 untuk pengundi baru dan 1,244 bagi pertukaran alamat.

“Akan tetapi, untuk suku tahun baru baru ini, bilangan pendaftaran tukar alamat di Dun Mahkota adalah sebanyak 284 orang jauh melebihi Mengkibol iaitu 98 orang. Daripada 284 orang pemilih yang berpindah masuk ke Dun Mahkota didapati lebih separuh berasal dari alamat Dun Mengkibol.

“Seolah-olah ada pihak tertentu yang mahu memanipulasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) apabila terdapat perpindahan pemilih dari Mengkibol ke Mahkota secara besar-besaran.

“Sebagai latar belakang, dalam PRU lepas kawasan Mahkota dimenangi oleh Datuk Md Jais Sarday di bawah tiket BN-Umno dengan majoriti yang sangat tipis iaitu 1,128 Undi. Kawasan Mengkibol dimenangi DAP dengan majoriti 10,001 undi,” katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP negeri telah menjalankan lawatan rumah ke rumah pada awal minggu ini di beberapa kediaman pemilih yang telah mendaftarkan pertukaran alamat ke Dun Mahkota.

“Saya memilih 10 sampel secara rawak dari jumlah lebih 100 pemilih yang berpindah dari Mengkibol ke Mahkota. Hasil kajiannya, tujuh daripada 10 pemilih yang didaftarkan alamat baru di Dun Mahkota tidak dapat dikesan.

“Apabila saya berkunjung ke alamat yg berdaftar mengikut RDPT, rumah tersebut tidak didiami oleh pemilih yang dikatakan telah berpindah ke situ,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");