SELEPAS kejayaan drama ‘Dia Semanis Honey’ yang mendapat sambutan hangat ketika disiarkan di kaca TV, naskhah adaptasi novel itu kini diangkat ke medium ketiga iaitu teater.
Teater Dia Semanis Honey Muzikal (DSHM) terbitan Cube Film Sdn Bhd dan Hyper Pictures Sdn Bhd ini bakal dipentaskan di panggung Sari, Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3-9 Januari 2017.
Selain mengekalkan Siti Nordiana dan Aliff Satar sebagai teraju utama, muzikal ini turut menampilkan sebahagian besar pelakon asal seperti, Datin Nina Juren, Nadya Syahera, Dafi dan Aleza Shadan.
Sementara Marsha Milan dan Ku Haris pula antara muka baru dalam DSHM bagi menggantikan pelakon asal yang tidak dapat bersama menjayakan teater ini.
Ketika ini DSHM sedang rancak membuat persiapan menerusi latihan intensif selama 10 jam sehari bagi memastikan pementasan berjalan dengan lancar dan dalam masa sama dapat memuaskan hati penonton.
Pengarah DSHM, Dira Datuk Abu Zahar yang ditemui ketika di sesi latihan mengakui banyak cabaran yang perlu dilaluinya dalam proses menjayakan teater ini.
Bermula daripada proses awal untuk memilih skrip yang sesuai sehinggalah pembentukan lakonan barisan pelakon, segalanya perlu melalui proses penuh penelitian demi memastikan perancangan dapat direalisasikan dengan sempurna di pentas.
“Sesuatu yang perlu saya akui adalah tidak mudah untuk mementaskan sebuah naskhah yang telah sedia popular menerusi novel dan drama.
“Sebagai pengarah saya bertanggungjawab memastikan naskhah ini berjaya dipentaskan dengan baik dan dalam masa sama tidak mengabaikan jalan cerita asalnya.
“DSHM bukan hanya untuk penonton yang telah mengikuti cerita dari novel dan drama, tetapi juga bagi mereka yang tidak pernah menonton karya ini dan cuba sebaik mungkin mengambil jalan tengah menampilkan jalan cerita yang mudah difahami,” katanya yang turut dibantu oleh Syed Zalihafe Syed Alwee sebagai pengarah bersama.
Menurut Dira, DSHM tampil lebih menarik menerusi beberapa kelainan yang mereka masukkan untuk disesuaikan dengan elemen pementasan.
“Kita tidak ubah banyak dari segi jalan cerita, cuma kita membuat sedikit olahan agar ia nampak lebih menarik di pentas, apatah lagi ia sebuah teater muzikal yang memerlukan energi yang lebih besar berbanding teater biasa.
“Semua pelakon yang terlibat akan menyanyi secara ‘live’ dalam DSHM ini tidak kiralah kecil atau besar watak mereka kerana saya mahu emosi yang ingin disampaikan kepada penonton itu dapat disempurnakan dengan sebaiknya.
“Selain itu, set DSHM juga menggunakan teknologi ‘mapping’ dan bukan tipikal set sebagaimana yang selalu diperlihatkan dalam banyak pementasan sebelum ini yang memberi kelebihan dari sudut visual dan sebagainya.
Lima kali skrip dirombak
Dari sudut lakonan, memandangkan sebahagian besar pelakon yang terlibat dalam DSHM ini pertama kali berlakon di pentas teater, Dira berkata, dia turut berdepan tugas berat untuk mempersiapkan mereka dalam lakonan pentas.
“Sebagai pelakon yang pernah berdepan dengan situasi serupa, saya cukup memahami keadaan mereka yang baru pertama kali berlakon di pentas, jadi saya cuba sebaik mungkin membantu secara berperingkat.
“Minggu pertama mereka didedahkan dengan bengkel lakonan pentas yang dikendalikan pembantu saya, Khairunazwan Rodzy, di mana sepanjang sesi ini mereka akan diajar tentang perkara asas dalam lakonan pentas.
“Alhamdulillah disebabkan komitmen dan kerjasama yang sangat baik dari mereka, proses seterusnya menjadi lebih mudah dan saya percaya masing-masing cuba memberikan yang terbaik menerusi perkembangan yang ditunjukkan,” ujar Dira, pengarah teater Mencari Sumaiyah yang dipentaskan Ogos lalu.
Seramai 6 pemuzik akan terlibat mengiringi lebih 20 lagu baru dan lama dalam DSHM yang mengambil durasi pementasan selama dua jam setengah ini. Lebih menarik, Alif Satar dan Siti Nordiana akan berduet menyanyikan lagu ‘Memori Berkasih’ buat pertama kalinya untuk peminat setia mereka.
Sementara itu, Khairunazwan yang bertindak sebagai penulis skrip dan lirik lagu untuk pementasan ini menyifatkan DSHM sebagai sebuah naskhah yang mesti ditonton oleh pengikut setia cerita ini.
“Bukan mudah menulis skrip untuk sebuah naskhah adaptasi kerana pelbagai aspek perlu diambil kira supaya dapat diterima baik pengikut setia karya ini mahupun mereka yang baru pertama kali menonton.
“Selepas melakukan perbincangan demi perbincangan, skrip ini telah melalui lima kali rombakan di mana kami akhirnya memilih untuk lebih memberi fokus kepada tema percintaan dan mengetengahkan konflik yang berlaku di antara dua pelakon utamanya.
“Saya juga bertanggungjawab untuk menulis lirik untuk 12 lagu baru di mana setiap lirik tersebut juga menjadi sebahagian daripada jalan cerita yang akan disampaikan oleh setiap watak yang terlibat,” katanya turut menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih lakon DSHM.
Giat menjalani latihan, pelakon DSHM mahu tampilkan yang terbaik.
Teraju utama DSHM, Siti Nordiana yang memegang watak sebagai Hani Safira mengakui agak gementar menunggu hari pementasan kerana bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik untuk peminat yang setia karya ini.
“Dia Semanis Honey ini sangat istimewa buat Nana kerana mahu mencabar diri untuk berlakon pentas. Nana sudah berlatih 10 jam sehari dan berguru dengan aktiviti teater hebat, ibu Fauziah Nawi,” katanya yang bakal menyanyikan lebih enam lagu.
“Malah selain dari latihan bersama pengarah dan pelakon lain, Nana juga turut berlatih di rumah kerana Nana tidak mahu menyusahkan pihak lain jika Nana gagal memberikan persembahan baik sebagaimana yang diharapkan mereka,” akuinya jujur.
“Bagi Nana, berlakon depan kamera lebih mudah kerana tidak ramai yang berada di lokasi tetapi di pentas memang semua mata akan tertumpu kepada kita, jadi mahu tidak mahu Nana perlu buang sifat malu itu untuk berlakon dengan baik.
“Misalnya babak pergaduhan antara Nana dengan watak Adam yang dibawakan oleh Engku Haris agak mencabar buat Nana kerana dalam babak itu Nana perlu menangis dan marah dengan penuh emosi,” ujarnya.
Sementara itu, Aliif Satar yang memegang watak Ahnaf Wafiy pula menyifatkan DSHM menguji ketahanan fizikal dan mentalnya kerana memerlukan komitmen yang tinggi, membabitkan tarian dan nyanyian.
Berkongsi pengalamannya bekerja dengan Dira selaku pengarah, kata Alif, dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pengarah tersebut yang begitu memahami kekurangan pelakon baru sepertinya.
“Memang saya banyak berlakon drama sebelum ini, tetapi ia semestinya tidak sama dengan lakonan pentas yang yang lebih hidup dan memerlukan fokus yang lebih tinggi baik sepanjang latihan mahupun ketika pementasan berlangsung.
“Dira memberi bimbingan dari perkara asas sehinggalah kepada hala tuju watak yang akan kami bawa dengan begitu baik tanpa sebarang tekanan.
“Malah dari awal dia tidak terus mengarah, sebaliknya dia ajar dulu apa yang kami tidak tahu satu demi satu dan anggap dia mempunyai ciri-ciri pengarah yang bagus untuk teater,” kata Alif jujur.
Sinopsis
Sebuah kisah cinta antara Ahnaf Wafiy seorang C.E.O. di Syarikat Blue Corporation dengan setiausahanya, Hani Safira yang penuh dengan babak-babak romantis dan komedi serta drama yang menyentuh perasaan. Ahnaf Wafiy yang merantau ke luar negara kerana kecewa dengan kekasihnya, Ariana, kini kembali ke tanah air dan berkenalan dengan setiausaha syarikatnya iaitu Hani Safira.
Perhubungan mereka yang dipenuhi dengan pertengkaran dan usik-mengusik telah membawa kepada sebuah rasa cinta yang manis. Namun pertemuan Ahnaf dan Ariana, bekas kekasihnya , secara tidak sengaja telah membuatkan Ahnaf membatalkan pernikahannya bersama Hani pada hari nikah mereka.
Ahnaf dan Ariana berpindah ke luar negara meninggalkan keluarga dan juga Hani yang sangat kecewa. Setelah tiga tahun berlalu, Ahnaf pulang ke tanah air semula dan kembali menagih cinta Hani yang saat itu sudah bertunang dengan Adam. Ikatan pertunangan Hani dan Adam mula goyah oleh kehadiran Ahnaf. Bella yang menyimpan perasaan kepada Ahnaf yang sudah duda ketika itu membuat perancangan bagi menghalangi cinta Ahnaf dan Hani bersatu.
-Sinar Harian