Jenayah

Diserang sakit jantung ketika memandu

SEREMBAN: Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena serangan jantung ketika memandu menyebabkan keretanya terbabas dalam longkang di Kampung Baru Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, mangsa, Chong Yuen Ming, 53, dikatakan baru lima minit keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja di Jalan Tok Ungku, di sini, sebelum kereta Perodua Viva dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang.

Abang mangsa dikenali sebagai Chong, 54, berkata, dia dihubungi seorang rakan memaklumkan kejadian itu lalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Pegawai perubatan yang memeriksa adik saya mengesahkan dia meninggal dunia. Kejadian ini memang mengejutkan kami sekeluarga kerana baru semalam (kelmarin) kami bersama-sama raikan perayaan Dong Zhi atau Winter Solstice,” katanya di sini, semalam.

Dia bagaimanapun memberitahu, adiknya menghidap penyakit darah tinggi dan masalah saluran jantung tersumbat.

“Tapi sebelum keluar rumah, dia dalam keadaan baik saja,” katanya.

Menurutnya, mendiang merupakan anak kedua dari lapan beradik dan belum berkahwin.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");